Kumpulan penjenayah dikesan sengaja memasang jerat berdawai merentangi laluan motosikal di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) bertujuan mencederakan mangsa sebelum dirompak.
Jerat berdawai
Bagaimanapun, taktik itu tidak menjadi apabila seorang anggota peronda Lebuhraya KESAS menjadi mangsa selepas lehernya tersangkut pada dawai berkenaan.
Dalam kejadian jam 5.35 pagi semalam, mangsa cedera ringan ketika melalui lorong motosikal di Kilometer 49.7, lebuh raya berkenaan dari arah Kuala Lumpur.
Mangsa dikatakan melakukan rondaan bersendirian bagi memastikan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna terjamin disamping menjaga aset syarikat.
Jurucakap Kesas Sdn Bhd (Kesas) ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Katanya, kejadian cubaan sabotaj kepada pengguna lorong motosikal lebuhraya Kesas dapat digagalkan walaupun mengakibatkan kecederaan kepada anggota Ronda Kesas.
“Difahamkan, anggota terbabit sudah membuat laporan polis di balai berdekatan dan sudah mendapat rawatan,” katanya.
Dia berkata, penunggang motosikal dibenarkan menggunakan laluan utama dari jam 11 malam hingga jam 6 pagi atas tujuan keselamatan.
“Kami akan sentiasa memantau kegiatan ini dan laporan polis sudahpun dibuat untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sumber: Harian Metro
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW