Ceritanya, baru-baru ini kecoh dunia hiburan bila rumah tangga Zarina dikatakan mempunyai masalah. Semua kerana gara-gara pelakon itu memuat naik satu gambar yang mencetuskan tanda tanya status dirinya.

Apabila desas-desus tersebut bertebaran, pastinya sebagai pengamal media hiburan akan mendapatkan kepastian dari mulut Zarina sendiri. Tak kan kami hendak buat kesimpulan sendiri, lagi-lagi tentang masjid yang dibina atas dasar cinta itu.

Cumanya, Joyah cukup kesal dengan reaksi Zarina. Soalan yang diajukan, bagi Joyah bukanlah begitu provokasi, malah dimulakan dengan ungkapan maaf.

Kalaupun enggan memberi komen, tidak perlulah membalas dengan kata-kata kasar. Jadi mengapa Zarina bertindak sedemikian. Joyah sungguh tak faham.

Tambah buruk, Zarina telah memuat naik sebahagian perbualan menerusi aplikasi WhatsApp dengan rakan Joyah tadi di Instrgramnya.

Gambar tersebut siap ada nombor telefon lagi tau. Cuba kalau ada peminat fanatik yang mengambil peluang menghubungi atau menghantar pesanan berbentuk makian kepada rakan Joyah tadi. Apa cerita kan?

Tapi bila Joyah cuba cari gambar tersebut, nampaknya Zarina sudah memadam gambar tersebut. Mungkin selepas beberapa pihak telah memberi nasihat bernas supaya dia tidak bertindak sedemikian.

Beginilah, nasihat Joyah kepada mana-mana artis, kalau rasa tidak mahu diganggu dengan soalan-soalan panas, janganlah memuat naik gambar yang berbentuk provokasi atau persoalan.

Nama pun selebriti, pasti akan ada rakan media menghubungi untuk merungkai persoalan yang dicetuskan oleh anda sendiri. Kita pun perlu saling hormat menghormati.

Kalau tidak ingin menjawab, boleh cakap baik-baik atau mungkin biarkan sahaja pesanan tersebut dibaca tanpa dibalas. Seperti yang Zarina buat dekat rakan-rakan media yang lain?