Uber Malaysia sukacita Perdana Menteri mengiktiraf kesan positif perkhidmatan perkongsian kenderaan ke atas sosioekonomi golongan B40.
Pengurus Besar Leon Foong berkata dengan menyediakan pilihan mata pencarian di hujung jari kepada semua rakyat, ia membantu pemandu Uber menampung keluarga dan diri sendiri, tanpa kekangan dalam mengejar cita-cita mereka.
“Kami memuji kerajaan kerana membentangkan belanjawan yang pintar dan berteraskan rakyat,” kata Leon dalam satu kenyataan hari ini.
“Inisiatif ini jelas menyediakan pertumbuhan ketara dan pemberdayaan ekonomi. Ini satu kemenangan untuk industri perkongsian kenderaan dan menunjukkan kepimpinan yang berwawasan.”
Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan bajet petang tadi berkata kerajaan mengalakkan penyertaan golongan B40 dalam industri perkongsian kenderaan seperti Uber, terutamanya bagi pemilik kenderaan sendiri.
“Bagi mereka yang tidak memiliki kenderaan, bayaran pendahuluan boleh dibuat menggunakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan rebat sebanyak RM4,000 bagi pembelian kereta Proton Iriz,” umum Najib, dalam belanjawan yang bertemakan ‘Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh’.
Langkah Najib ini sudah dijangka memandangkan kerajaan sendiri dilaporkan melabur dalam Uber melalui Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).
Pada 17 Oktober lepas, 50 pemandu teksi menyerahkan memorandum kepada para ahli Parlimen yang menghadiri sesi pertama Dewan Rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Kereta Sewa Malaysia Menentang Grab dan Uber, Jefri Jaafar Tukeman berkata mereka membantah tindakan kerajaan menghalalkan perkhidmatan perkongsian kenderaan, kerana melanggar Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
Sementara itu, Uber melahirkan rasa “seronok” kerana dapat bekerjasama dengan Proton.
“Ini langkah yang pertama seumpamanya di Dunia. Sepertimana Uber peneroka utama industri perkongsian kenderaan, Proton juga peneroka industri automotif di Malaysia.”
Sumber: Free Malaysia Today
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW