Ketua Pengarah, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Kamil Othman mengingatkan produser menjenamakan produk mereka dengan serius bukan hanya main-main, cincai tetapi yakin. (Gambar: FINAS)
Ketua Pengarah, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Kamil Othman berkata, kebanyakkan produser yang berjaya di luar negara adalah mereka merupakan ahli perniagaan yang tahu soal bisnes.
"Jika saya buat filem dengan kos sebanyak RM3 juta, saya patut dapat balik pulangan RM4 juta, RM5 juta atau RM6 juta. Namun, apabila saya mempersoalkan Skim Wajib Tayang yang sebenarnya mahu membuat penggiat industri dan persatuan semua berfikir semula adakah skim ini terbaik buat masa ini atau kita perlu ubah caranya untuk ditambah baik, wujud pula salah faham seolah kita mahu memansuhkannya.
"Perlindungan dalam skim ini bukan saja melindungi filem 'baik' tetapi produser yang tidak reti apapun dilindung juga. Jadi, cadangan baru kita mewujudkan skim ini mempunyai dua pihak menilai, mungkin sebagai salah satu jalan penyelesaian yang akan memberi kesan positif," katanya dalam temubual eksklusif bersama Rojak Daily Kaw! di Content Malaysia Pitching Centre (CMPC), KL Sentral, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, tindakan FINAS menekankan aspek pembangunan skrip di CMPC sebelum pemberian dana menjadikan segelintir produser tidak berpuas hati kerana mereka sudah biasa berurusan dengan pihak tertentu dan memikirkan ia senang dibuat tanpa bertungkus lumus.
"Maknanya di sini, skop mereka terhad seperti 'jaguh kampung'. Mereka sudah berpuas hati apabila filemnya sekadar ditayangkan di pawagam dan masuk Astro First.
"Kita kena faham jika industri ini asasnya adalah 'intellectual property', kita perlu ada 'nyawa' yang boleh diteruskan seperti lagu-lagu The Beatles boleh dilayan cucu dan cicit dan juga filem lakonan Tan Sri P Ramlee membuatkan masih ramai generasi boleh tonton tetapi jika kita bandingkan dengan filem sekarang, berapa banyak filem yang boleh anak, cucu dan cicit tengok untuk tempoh 50 tahun dari sekarang dan itu adalah perbezaannya," katanya.
Beliau berkata, produser diingatkan menjenamakan produk mereka dengan serius bukan hanya main-main, cincai tetapi yakin. Sekiranya filem itu gagal, produser itu boleh berpuas hati dan belajar untuk menghasilkan karya lebih baik.
"Jika Thailand menerbitkan filem seram yang boleh diterima penonton kita, begitu juga drama Korea tetapi berapa banyak filem dan drama tempatan kita yang dihasilkan kemudian penonton berpatah balik kepada karya Thailand dan Korea," katanya.
Pembaharuan ditunjukan FINAS menerusi CMPC menunjukkan kesan positif apabila produser tempatan mula menarik perhatian pelabur luar negara seperti China dan Amerika Syarikat terbabit sama dalam kerjasama penerbitan filem di sini.
"Ramai yang datang menunjukkan bahan yang dapat menarik pelaburan seperti skrip, 'storyboard' atau 'teaser' memudahkan produser bertemu pelabur. Jika mereka minta duit daripada FINAS, kita cuma beri 40 peratus saja manakala bakinya perlu dicari dari pihak swasta.
"Adanya sistem pemberian dana ini, mereka tahu akan diberikan geran 'kick off' di sini dan dengan skrip mereka boleh mula berjumpa pelabur di luar negara. Kejayaan FINAS bukan saja membuka pintu pada produser tempatan tetapi tarik minat pelabur.
"CMPC bermula September tahun lalu, jadi ramai yang terlupa ini adalah tahun pertama. Buat masa ini, ada 8 sehingga 10 skrip yang sedang mencari pelabur dan pengedar. Itu cara pemasaran baru FINAS, nak cari pelabur seperti Iflix perlu dibuat sebelum produksi bermula dan produser kena buat perkara ini.
"Kejayaan FINAS dalam aspek pembangunan modal insan adalah kita latih bukan macam dulu sebagai syarat tapi 'hands on' produser difokuskan perlu ambil peranan mencari duit dan membuat publisiti. Ramai produser tidak buat seperti itu dan mereka seumpama bangun pagi mahu jadi produser.
"Produser juga perlu banyak belajar. Wujud kekeliruan sebelum ini ada produser diberi duit tapi tidak kacau proses kreativiti seperti skrip tetapi ada juga melibatkan diri dalam proses kreatif.
"Justeru, kita ajar mereka cara sasaran sesebuah filem dan perubahan ini diharapkan akan mewujudkan generasi produser baru yang bukan saja boleh melabur dan cari duit tetapi mencari skrip untuk diterbitkan memandangkan sekarang banyak penulis dan produser adalah individu yang sama," katanya.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW