Enggan menghampakan penyanyi Hafiz dalam saingan separuh akhir Muzik-Muzik, Misha Omar sanggup langgar pantang bersalin 100 hari.
Usaha Misha ternyata berbaloi apabila “Terimaku Seadanya” lagu duet bersama Hafiz terpilih dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) Januari ini.
“Hafiz pernah kata kalau boleh dia tidak mahu nyanyi dengan orang lain. Lagu ini sebenarnya pasal persahabatan kami. Penyanyi lama dan penyanyi baru.
“Ajai buatkan lagunya dan dari awal kami nyanyi bersama. Jadi lagu ini bersifat peribadi buat saya.
“Kalau saya beri orang lain menyanyi, saya bimbang tumpuan Hafiz terhadap karya kami berkurangan dan tidak fokus,” katanya kepada pemberita selepas separuh akhir Muzik Muzik pada Jumaat.
Penyanyi “Ku Seru” melahirkan Muhammad Idris Ezzwa di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) pada 24 Ogos lalu selepas mendirikan rumah tangga pada Mei 2014.
“Terimaku Seadanya” ciptaan penuh Ajai akan berentap bersama 11 lagi lagu yang akan bertanding dalam AJL ke-31 di Pusat Dagangan Dunia Putra Januari ini.
Misha, 34, berkata selang masa beberapa minggu sebelum AJL memberikannya peluang untuk mendapatkan berat badan yang ideal sebelum persembahan.
Katanya, kesediaan untuk berentap di peringkat separuh akhir adalah demi menghargai usaha peminat yang membolehkan lagu itu mara ke peringkat seterusnya.
“Pentas AJL bukan asing pada kami jadi kami gunakan pengalaman sebelum ini untuk memantapkan lagi persembahan kami.
“Ini sebenarnya harapan peminat kerana juri awal yang melayakkan lagu ini ke separuh akhir adalah mereka.
“Walaupun belum lepas 100 hari pantang tetapi saya cakap dengan semua orang, saya akan cuba yang terbaik tetapi jangan harap lebih,” katanya sambil mengukir senyuman.
Sumber: Projek MMO
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW