Bapa remaja berkenaan, Helmi Ghazali, 51, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, anaknya, Amirul Aminin, 16, keluar mencari anak kucing di luar rumah mereka.

Remaja nyaris dipatuk ular tedung

Remaja nyaris dipatuk ular tedung

“Ketika dia mencari anak kucing kesayangannya di luar rumah, dia terkejut apabila melihat ular berkenaan melingkar di bawah rak kasut,” kata Helmi ketika ditemui di rumahnya di Kampung Caruk Tala, Jeneri di sini hari ini.

Menurutnya, ketika itu, jarak ular dengan Amirul hanya beberapa meter sahaja, malah ular itu sudah bersedia untuk menyerang anaknya.

“Nasib baik dia bertindak pantas dengan menutup pintu rumah, jika tidak berkemungkinan besar ular itu akan mematuknya,” katanya.

Katanya, dia segera bertindak menghubungi pasukan Briged Sukarelawan 1Malaysia (BS1M) untuk meminta bantuan menghubungi pihak bomba bagi membantunya menangkap ular yang berbisa itu.

Sementara itu, Pengerusi BS1M, Mahadzir Abdul Hamid berkata, setelah menerima panggilan pada pukul 9.45 malam, beliau bersama lapan anggota bergegas ke rumah Helmi untuk membantu pihak bomba dan penyelamat menangkap ular tersebut.

“Selama 10 minit usaha dilakukan, akhirnya ular tedung selar seberat 10 kilogram itu berjaya ditangkap,” kata Mahadzir.

 

Sumber: UTUSAN ONLINE