"Saya Belum Buat Keputusan Lagi, Tapi Kalau Ikutkan Peminat Mereka Mahu Saya Kembali" - Elly Mazlein

Menurut Elly, meminat mahukan beliau kembali menyertai Gegar Vaganza musim ketiga (Kredit Gambar: Z.Nadzri)

Penyanyi Elly Mazlein sedang mempertimbangkan untuk menyertai semula program Gegar Vaganza musim  ketiga (GV3).

Atas kuasa imuniti yang ada pada penaja utama program itu, Datuk  Seri Vida, Elly boleh diserap semula dalam GV3.
 
Elly atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 36, menarik diri daripada GV3 sebelum dia diumumkan tersingkir pada minggu keempat konsert itu yang bersiaran langsung di Auditorium Bandaraya Shah Alam.

Keputusan itu dibuat Elly kerana dia berkecil hati dengan komen juri tetap GV3, Datuk Ramli MS, yang didakwa mengatakan dia terus bertahan dalam program itu atas ihsan Astro.
 
Ketika ditemui pada satu majlis, Elly tidak menafikan atau mengiyakan yang dia akan kembali ke GV3.

"Saya belum membuat sebarang keputusan lagi dan saya juga tahu apa pun keputusannya nanti, pasti saya akan dikecam oleh netizen termasuk rakan artis yang memberikan pelbagai komen.  Saya tidak marah kerana mereka berhak berkata apa saja.

"Setiap kecaman dan kritian itu sebenarnya membuatkan saya semakin kuat. Sebagai artis, saya kena terima dan hadapi segalanya.  Namun dalam begitu banyak kritikan dan kecaman yang diterima,  semakin bertambah pula peminat saya terutama followers saya di laman sosial.  Mereka mahu saya menyertai GV3 semula.

Semuanya bergantung kepada sokongan peminat. (Kredit Gambar: Z. Nadzri)

"Oleh itu sama ada saya akan beraksi semula di pentas GV3 semula, kenalah tunggu. Apa jua keputusannya nanti adalah kerana peminat saya yang tidak jemu- jemu memberikan sokongan.

Berhubung kritikan daripada  selebriti dan rakan artis, ujarnya ada yang sudah minta maaf dengannya dan kepada yang hanya ‘berani’ berkata-kata menerusi laman sosial, Elly  dengan hati terbuka memaafkan mereka.
  
“Kalau orang sudah minta maaf, mestilah saya maafkan. Kita tak boleh marahkan orang sampai bila-bila tetapi hairannya ada juga artis yang tidak begitu mengenali saya tiba-tiba turut memberi komen  antaranya mengatakan saya bukan sesiapa dan tiada apa-apa dalam industri hiburan. Apa pun tanggapan orang, saya terima dan  kini memilih untuk mengutamakan keluarga daripada terus menanggung kesedihan.

“Selepas keluar dari GV3, saya seolah-olah mendapat kekuatan baru dan hati semakin kebal serta kalis kritikan. Saya juga tidak mahu lagi meletakkan kesalahan pada orang lain, lebih baik saya mengharungi hari-hari mendatang dengan gembira,” katanya.

Tetap Menghormati Ogy

Tindakan Elly menarik diri daripada GV3 turut dikritik pelakon senior, Ogy Ahmad Daud. Menurut Elly, walaupun Ogy beritahu dia sangat mengenalinya kerana Elly pernah berlakon dalam drama arahannya berjudul Bukan Yang Pertama pada 2005, tetapi jelas Elly secara peribadi dia sendiri tidak  kenal Ogy dengan rapat ketika itu kerana dia tidak sepenuhnya mengarahkan drama itu.

“Sepanjang penggambaran drama 26 episod itu, banyak sangat masalah dan saya tidak berpeluang untuk berkenal mesra dengan Kak Ogy. Kami tidak sempat duduk dan lepak bersama, jauh sekali bergurau tetapi apabila dia kata saya ‘drama queen’, saya terima.

Walaupun tak lepak bersama jauh sekali bergurau senda, tapi Kak Ogy macam kenal sangat hati budi saya. Baguslah! (Kredit Gambar: Z. Nadzri)

“Seronok juga apabila pelakon lama seperti Kak Ogy boleh kenal saya sampai macam itu sekali. Saya juga minat Kak Ogy dan suka melihat lakonannya dalam filem Azura. Saya baru 20 tahun dalam industri hiburan tetapi apabila ada orang lama seperti Kak Ogy memberi perhatian kepada saya, itu tanda dia ambil berat pasal saya dan tetap menghormatinya sebagai pelakon senior,” katanya.

Perkembangan lain, dia baru dilantik duta satu jenama fesyen ada ada beberapa produk lain yang bercadang bekerjasama dengannya.

“Seperti yang saya katakan, banyak perkara manis yang menunggu dan ini semua adalah rezeki Sefhia. Saya akan bergerak di seluruh negara untuk mempromosikan jenama fesyen itu di samping dapat berjumpa peminat,” katanya.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post