Juara Gegar Vaganza musim kedua itu menganggap, karya nukilan Audi Mok dan Omar K berkenaan masih baharu dan mungkin tiada rezeki pada tahun ini untuk melayakkannya mara ke separuh akhir.

“Single yang dijadikan lagu tema siri Dia Semanis Honey itu masih berada di dalam carta Muzik-Muzik 31 dan mula mendapat perhatian peminat muzik tempatan selepas dimainkan di stesen-stesen radio tanah air.

“Jadi, tempohnya yang masih baharu dalam carta mungkin jadi penyebab ia tidak dipilih berbanding karya-karya lain yang lebih lama bertakhta. Siapa tahu rezeki saya pada edisi SFMM32 akan datang?” jelasnya optimis meletakkan harapan.

Lagipun tambah Siti Nordiana, dia amat sibuk dalam persediaan untuk pementasan teater muzikal Dia Semanis Honey yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 3 hingga 12 Januari tahun hadapan.

Mengakui sangat gementar menjelang pementasan itu, dia terpaksa berguru dengan dramatis senior Fauziah Nawi yang sememangnya terkenal sebagai aktivis teater berpengalaman.

“Hendak berlakon siri TV pun saya bergeletar lutut, inikan pula secara langsung di atas pentas teater, di hadapan ribuan penonton. Mungkin bab nyanyian tiada masalah besar, tetapi tuntutan menyanyi sambil berlakon itu yang membimbangkan,” katanya.

 

Sumber: UTUSAN ONLINE