“Cukup kecewa saya apabila kisah makcik saya, Asmah Hasim, 77, ‘diviralkan’, dan lebih menyedihkan semua kisah berkenaan sama sekali tidak benar,” kata Norhasimah Ismail, 50.
Menurut Norhasimah lagi, dia juga kecewa apabila ada sesetengah netizen sanggup melemparkan kata-kata negatif tanpa ada usul periksa terlebih dahulu sebelum memberikan komen di laman sosial.
Terdahulu, kisah membabitkan dua beranak yang membabitkan warga emas, Asmah dan anaknya Azizah Darmawan, 57, tersebar di laman sosial, yang mana mereka terbiar tanpa ada bantuan daripada pihak yang berwajib juga daripada ahli keluarganya.
Kata Norhasimah lagi, dia sanggup ke pekan Senggarang yang jauhnya hampir tujuh kilometer dari kampungnya, iaitu Kampung Parit Makmor untuk mendapatkan liputan internet kerana ingin membaca komen yang dilemparkan di media sosial.
Tambahnya, semalaman dia menangis kerana sepanjang 20 tahun dia menjaga ibu saudaranya, inilah kali pertama dia difitnah kerana mengabaikan ibu saudaranya yang dikatakan terbiar dan merempat.
“Gambar dan video Asmah bersama anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU), Azizah menjadi viral di laman sosial apabila berada dalam keadaan menyayat hati dan serba kekurangan.
“Malah, perkara yang paling sedih gambar Asmah yang duduk di bawah helaian surat khabar dengan dikelilingi sampah sarap amat menyentuh masyarakat, sengaja disiarkan pihak tertentu.
“Saya bukan sengaja membiarkan keadaannya begitu, ini kerana setiap kali saya mengemas kawasan berkenaan, ibu saudara saya ini akan menyepahkannya kembali,” katanya ketika ditemui.
Menurut Norhasimah lagi, perubahan sikap ibu saudaranya itu berlaku selepas suaminya meninggal dunia, enam tahun lalu dan dalam tempoh berkenaanlah dia menjaga kedua-duanya yang berada di sebelah rumahnya.
“Selepas kematian suami, sayalah yang menjaga dia dan anaknya yang juga sepupu saya. Makan minum dan segala rutin harian dipantau oleh saya, namun tidaklah sepenuhnya kerana saya juga bekerja di sebuah kilang berhampiran pekan di sini.
“Oleh sebab itu saya terpaksa ulang alik dari tempat kerja ke rumah hampir setiap hari untuk menyediakan makanan,” katanya yang turut mempunyai anak OKU perempuan berusia 14 tahun.
Norhasimah berkata, dia menafikan tuduhan orang ramai yang menyatakan bahawa ahli keluarga dan penduduk kampung mengabaikan penjagaan ibu saudara dan sepupunya kerana mereka berdua sudah berada di bawah jagaannya lebih 10 tahun.
“Sejak isu pengabaikan dua warga emas itu tersebar di media sosial semalam saya tidak dapat menahan sebak, malah menangis semalaman kerana kecewa dengan tuduhan melulu dan tidak berasas.
“Jika sengaja dibangkitkan keadaan rumah yang kotor, percayalah sudah beratus kali saya kemas, namun ibu masih mahu tidur di tempat yang kotor. Memang senang untuk orang tuduh macam-macam, namun hanya tuhan saja yang tahu kisah sebenar,” katanya.
“Walaupun masih terkesan dengan kata-kata kesan dilemparkan di laman sosial, namun dia tetap bersyukur sekurang-kurangnya isu pengabaian ibu saudara dan sepupunya dapat diselesaikan dengan tindakan pihak berkaitan.
Dalam tinjauan yang dilakukan Sinar Harian, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pun sudah mengambil mereka dan segala keputusan akan dimaklumkan kepada keluarga dalam masa yang terdekat.
Sementara itu, Pegawai JKM Batu Pahat, Khairu Asri Ismail berkata, pihaknya memang ada mengambil kedua-dua anak beranak itu, dan mereka akan ditempatkan di Rumah Sri Kenangan (RSK), Johor Bahru pada jam 1.30 petang.
Sumber: Sinar Harian
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW