Syarikat Padi Beras Nasional Bhd (Bernas) hari ini digesa hanya melakukan kadar pemotongan dan pemutuan padi pada kadar tidak melebihi 25 peratus.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata pemotongan bagi pemutuan padi yang terlalu tinggi menjejaskan pendapatan petani.
“Kalau lebih daripada itu, pulangan kepada petani banyak yang terjejas dan mengakibatkan hasil yang diperoleh sangat sukar untuk menampung kos pengeluaran.
“Jadi, tidak ada untunglah bagi petani kerana ini masalah kelangsungan hidup petani dan mereka merupakan tanggungjawab kementerian ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan dialog permasalahan bersama petani di Seberang Perak di sini hari ini.
Sebelum ini, ramai para petani menyatakan ketidakpuasan hati terhadap Bernas yang membuat kadar pemotongan padi antara 26 hingga 47 peratus bagi setiap tan metrik yang dijual pada musim ini.
Tajuddin yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak berkata Bernas telah diberi hak monopoli sebagai pengimport tunggal beras negara dengan tujuan asal untuk membantu petani.
“Jadi sekarang ini (Bernas) ada bantu ke tidak? Kalau petani makin terhimpit dengan masalah-masalah lain, maknanya Bernas tidak berjaya dalam membantu petani.
“Mereka patut ada tanggungjawab sosial. Saya tahu Bernas untung beratus juta ringgit setahun. Mereka patutnya sudah sedar dan laksanakanlah janji hendak bela petani itu,” katanya.
Kawasan Seberang Perak mempunyai 8,529 hektar tanaman padi dan merupakan satu daripada kawasan jelapang padi di Perak dengan jumlah petani kira-kira 3,500 orang. ― Bernama
Sumber: Projek MMO
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW