Dituduh jadi sebahagian komplot humpan Anwar ke dalam penjara, Musa Hassan tuntut Raja Petra minta maaf

Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan memberi kata dua kepada blogger Raja Petra Kamaruddin untuk sama ada menarik balik tuduhan fitnahnya atau berdepan dengan tindakan saman.

Ini berhubung laporan yang mendakwa beliau adalah sebahagian daripada plot untuk menghumban bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke penjara.

“Saya rasa ini adalah fitnah dan tuduhan tanpa asas.

“Kes ini telah dibicarakan di mahkamah,” kata Musa pada sidang akhbar di Petaling Jaya hari ini.

Musa berkata, jika Raja Petra tidak memohon maaf dan menarik balik artikel yang salah itu, beliau akan membuat laporan polis berhubung fitnah jenayah serta memfailkan tuntutan mahkamah terhadap penulis blog yang menjadi buruan polis itu.

Jika permintaannya dipenuhi, bekas ketua polis negara itu berkata beliau sedia memaafkan Raja Petra.

Ditanya bagaimana beliau akan mengheret penulis blog itu – yang kini tinggal dalam buangan di UK – ke mahkamah, Musa berkata beliau akan berbincang dengan peguamnya.

Sebuah artikel di blog Raja Petra, Malaysia Today mendakwa bahawa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Musa untuk menghumban Anwar ke penjara dalam kes Liwat II.

Anwar didakwa meliwat kali kedua pada tahun 2008, apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri.

Mengulas lanjut, Musa berkata beliau tidak membincangkan keputusannya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Raja Petra dengan Gani.

Beliau berkata, penulis blog tidak sepatutnya menyalahgunakan kebebasan bersuara.

“Blogging tidak bermakna kita boleh menulis cerita yang tidak benar.

“Kebebasan bersuara bukannya bermakna kita boleh berbohong,” katanya.

 

Sumber: Malaysiakini



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post