Kalau tarik diri, Kelantan perlu 10 tahun untuk kembali ke liga super

Tan Sri Annuar Musa menasihatkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak menarik diri dalam perlawanan Liga Malaysia musim depan.

Bekas presiden Kafa berkata, ia bagi mengelakkan pasukan The Red Warriors hilang hak untuk bersaing dalam liga itu pada masa akan datang.

“Jika mahu masuk semula, Kelantan perlu bermula di Liga Divisyen 3 atau Liga FAM. Untuk kembali ke Liga Super mungkin perlu 10 tahun.

“Lagi pun penyertaan pasukan Piala Belia U19 dan Piala Presiden U21 turut terkubur,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook miliknya hari ini.

Ahli Parlimen Ketereh berkata Kelantan perlu melipat gandakan usaha demi memperoleh keputusan terbaik dalam arena sukan negara.

Katanya, meskipun tidak lagi berada dalam Kafa, perjalanan pasukan itu masih diikuti termasuk perkembangan bola sepak Malaysia.

“Berusahalah, yang pipis tidak datang melayang, yang bulat tidak datang bergolek,” katanya.

Keputusan Kelantan untuk menarik diri dalam saingan Liga Malaysia hanya akan dibuat minggu ini selepas satu kongres Kafa pada Khamis.

Pasukan bola sepak itu sedang mencari penaja utama selepas pengasas Vida Beauty Datuk Seri Hasmiza Othman menarik diri untuk memberi tajaan pada musim depan.

Sumber: Projek MMO



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post