Kuasa pembaharuan permit batuan dan galian yang sebelum ini diberikan di peringkat pentadbir tanah dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG), akan diambil alih oleh Exco Kerajaan Negri Sembilan, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata perkara itu antara yang diputuskan dalam mesyuarat exco yang dipengerusikannya di sini, semalam.
Katanya, ia diputuskan selepas pemeriksaan terhadap pendapatan kerajaan negeri khususnya dalam bidang galian mendapati ia sering tidak menunjukkan peningkatan.
“Jadi bila saya tarik balik kuasa di PTG, di Pejabat Tanah dan bila saya tengok satu persatu (permit) kemudian baru kita tahu jawapannya. Saya tidak menuding jari kepada sesiapa.
“Ada banyak sebab kenapa kami ambil balik,” katanya kepada pemberita di sini.
Mohamad berkata hasil semakannya mendapati tiga tapak kuari yang beroperasi selama 20 tahun di negeri ini, telah menjalankan operasi mereka menggunakan status tanah pertanian atau dusun yang menyebabkan pendapatan kerajaan negeri dalam bidang galian tidak meningkat.
Katanya, tiga pemilik kuari ini diberikan tempoh tiga bulan untuk menukar status tanah daripada pertanian kepada perindustrian.
“Jadi tadi kita buat keputusan, kita bagi tiga atau empat bulan. Dalam masa tiga bulan tuan punya tanah atau pemilik kuari mesti tukar status daripada pertanian atau dusun kepada industri.
“Cukai tanah akan dikira melalui cukai tanah industri dan cukai tanah industri ini akan dikira balik dari hari pertama mereka beroperasi.
“Mereka telah bersuka ria sejak 20 tahun lepas bayar cukai tanah pertanian tak sampai RM15,000 setahun.
“Kalau tanah tersebut ditukar status kepada tanah industri, dah hampir setengah juta setahun (kena bayar),” katanya.
Mohamad berkata dalam tempoh tiga bulan itu, pemilik kuari berkenaan harus menukar status tanah serta menyelesaikan kesemua tunggakkan cukai dan keengganan berbuat demikian, akan menyebabkan ketiga-tiga pemilik itu berdepan risiko perniagaan ditutup. — Bernama
Sumber: Projek MMO
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW