Penyanyi Nubhan mengaku menangis gara-gara hampir gagal dalam perniagaan kosmetik, Juwita Divine yang diusahakannya.
Dua tahun membina jenama itu, Nubhan berdepan pelbagai dugaan hingga hampir berputus asa menjadi usahawan.
“Biasalah, ketika mula berniaga, kurang ilmu dan pengalaman membuatkan bisnes yang saya usahakan hampir gagal.
“Lebih-lebih lagi permainan harga pasaran membuatkan saya kurang pandai untuk bersaing ketika mula-mula mengusahakan jenama Juwita Divine,” katanya kepada BH Online.
Enggan mengalah, Nubhan atau nama penuhnya, Ahmad Nubhan Ahamad tampil dengan strategi baharu bagi menarik pelanggan.
Akui bekas pelajar Akademi Fantasia (AF) ini, dia mengambil inisiatif menguasai ilmu perniagaan.
“Apabila sedikit ilmu di dada, lebih banyak pengetahuan perniagaan yang saya ingin tahu. Ia juga mematangkan saya sebagai ahli perniagaan.
“Alhamdulillah, saya mendapat sokongan kerajaan. Malah, syarikat saya mencatat nilai jualan RM1.3 juta tahun ini,” katanya.
Nubhan berkata, syarikatnya menganjurkan majlis penjenamaan semula Juwita Divine di Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Sabtu lalu.
Acara itu disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan disaksikan Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Setakat ini, Juwita Divine yang juga produk perawatan kulit, sudah menarik pelanggan dari Singapura, Brunei, Indonesia, Kuwait dan United Kingdom (UK).
Mengenai karier seni, Nubhan berkata, dia bakal melancarkan single terbaharu ciptaan Harry (Kalifah), bulan depan.
Sumber: BH Online
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW