Pasukan Taktikal Bersenjata Kastam (COBRA) Ditubuhkan, Kendali Kes Profil Tinggi


Kredit foto - orangmuda.tv

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah menubuhkan Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) bagi membantu operasi penguatkuasaan yang sering berhadapan ancaman dan ugutan.

Seramai 25 pegawai dan anggota (COBRA) akan ditempatkan di setiap negeri di seluruh negara dalam masa dua tahun akan datang bagi mengendalikan kes berprofil tinggi.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, ia bertujuan mengurangkan risiko ketika bertugas terutamanya membabitkan pegawai bahagian penguatkuasaan ketika menjalankan operasi.

Menurutnya, ketika ini, pasukan COBRA berfungsi sebagai penggempur dan pelindung kepada Bahagian Penguatkuasaan JKDM terutamanya dalam menangani kes berisiko tinggi bagi mengatasi ancaman yang dihadapi jabatan berkanun itu sejak kebelakangan ini.

“Peningkatan ancaman yang berlaku terhadap pegawai penguat kuasa seperti ugutan dan halangan termasuk gangguan tonto ketika menjalankan operasi adalah sebab COBRA ditubuhkan.

“Latihan siri pertama yang membabitkan 23 pegawai diadakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Perak bermula 18 Julai sehingga 16 Ogos lalu.

“Buat masa ini, COBRA ditempatkan di ibu pejabat dan akan digerakkan ke lokasi yang memerlukan penugasan bergantung kepada tahap risiko sesuatu kes dikendalikan pasukan serbuan.

“Sejak kebelakangan ini, pegawai bahagian penguatkuasaan JKDM banyak menerima ugutan ketika menjalankan tugasan mereka terutama yang bertugas di sempadan iaitu Kelantan dan Johor, ” katanya selepas merasmikan pelancaran Pasukan Taktikal Bersenjata COBRA JKDM di Lapang Sasar Lembah Bidong dua hari lalu. 

Pada Mac lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut melancarkan Pasukan Tindakan Khas (PTK) bagi membanteras aktiviti tonto yang semakin membimbangkan. 

Post a Comment

Previous Post Next Post