Nampak gayanya sikap mengenakan pelancong dengan tambang yang mahal dan menipu pelanggan yang dilakukan segelintir pemandu teksi masih lagi tidak berubah walaupun berasa terancam dengan kehadiran perkhidmatan Uber dan Grabcar.
BACA: Kampung Baru Tersenarai Kejiranan Bandar Paling Trendy Oleh Airbnb
Ini kerana pada Sabtu yang lalu, seorang pemandu teksi telah mengenakan caj yang terlalu tinggi serta menipu dua orang pelancong wanita warga Perancis yang asalnya mahu ke Masjid Negara daripada KLCC.
Kejadian tersebut berlaku pada jam 6 petang yang mana pelancong wanita bernama Sarah, 30-an, dan rakannya telah menaiki teksi untuk ke Masjid Negara dan setelah menaiki teksi pemandu tersebut enggan menggunakan meter tambang ketika membawa pelancong wanita itu.
Keratan Harian Metro berkenaan berita ini.Sarah dan rakannya telah dibawa ke Putrajaya terlebih dahulu sebelum berpatah balik ke Masjid Negara dan sampainya di sana pemandu teksi tersebut telah memaksa dia membayar tambang sebanyak RM800.
Oleh kerana risau dan takut akan keselamatan diri, dua pelancong wanita itu akur dengan membayar jumlah tambang yang dikenakan pemandu teksi tersebut setelah mengambil gambar dan nombor pendaftaran teksi terbabit.
Namun setelah itu mereka telah merasakan tertipu dengan jumlah tambang tersebut, mereka hadir membuat laporan di Pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Pudu pada Ahad yang lalu.
“Daripada maklumat diterima, pemanduitu mengambil kesempatan terhadap pelancong asing dengan menggunakan jalan yang lebih jauh sedangkan jarak antara KLCC ke Masjid Negara hanya sekitar enam kilometer”, maklum jurucakap SPAD ketika ditemui Harian Metro.
Buat masa sekarang SPAD sedang mengesan pemandu teksi terbabit untuk diambil tindakan selanjutnya kerana perbuatan yang dilakukan benar-benar menjejaskan nama baik dan imej negara di mata para pelancong sekaligus menghilangkan rasa kepercayaan terhadap perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram