Seramai 150 daripada 1,100 permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Dun Nilai gagal diproses didakwa disebabkan pemohon berdepan kerumitan mengemas kini maklumat tersebut berbanding prosedur sebelum ini.
Adun Nilai, J Arul Kumar berkata, kegagalan itu disebabkan pemohon tidak dapat mengemukakan dokumen seperti mana yang dikehendaki oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Setelah disemak, pemohon yang gagal permohonannya diproses LHDN berhadapan kesukaran apabila LHDN mengehendaki pemohon perlu mengemukakan beberapa dokumen seperti sijil penceraian, sijil kematian pasangan bagi pemohon yang merupakan ibu, bapa tunggal sebelum mengemaskinikan permohonan.
“Jika dilihat permohonan sebelum ini, pemohon tidaklah dikehendaki mengemukakan dokumen tersebut. Asalkan menyatakan tarikh cerai mahupun kematian bagi pasangan yang sudah tiada.
“Namun pada tahun ini, pemohon perlu mengemukakan dokumen tersebut dan diberi tempoh tujuh hari.
“Sekiranya gagal permohonan mereka tidak akan diproses. Perkara ini sedikit sebanyak merumitkan pemohon kerana ada antara mereka sudah lebih 30 tahun tiada sijil kematian pasangan,” katanya.
Arul berkata, selain itu juga pemohon turut berdepan kesukaran apabila dikehendaki untuk mengemas kini maklumat.
“Bagi pemohon bertukar alamat dan mereka mengemaskini permohonan tersebut tidak menjadi masalah. Tetapi bagi pemohon yang tidak bertukar alamat juga perlu mengemaskini maklumat menerusi arahan di laman web dan jika tidak, permohonan tidak akan diproses.
“Perkara ini sedikit sebanyak mengelirukan pemohon. Lebih mengelirukan, pada risalah yang diterima daripada LHDN, mereka meminta pemohon mengemas kini tiga tahun sekali, jika tidak permohonan terbatal.
Sehubungan dengan itu, katanya, beliau berharap agar LHDN dapat mengeluarkan arahan yang lengkap dan tidak berubah-ubah dari tahun ke tahun untuk memudahkan pemohon membuat permohonan.
“Tahun lepas, lain pula arahan yang diminta daripada pemohon iaitu perlu disertakan waris. Tahun ini pula, diminta dokumen seperti sijil cerai, dan sijil kematian. Tahun depan tidak tahu pula, apa yang dikehendaki LHDN.
“Oleh demikian, saya mohon LHDN dapat mengeluarkan satu senarai yang lengkap agar pemohon tidak lagi dirumitkan keadaan bagi membuat permohonan,” katanya.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW