Hari terakhir Perhimpunan Agung Umno 2016, menyaksikan pelbagai inisiatif yang dilakukan para peniaga untuk melariskan produk mereka.
Antaranya, usaha yang dilakukan oleh penjual produk coklat, Shuhaida Saidah yang berniaga coklat dengan ‘menjual muka’ presiden Umno termasuklah Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ditemui Sinar Online di gerainya yang terletak di aras tiga Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Shuhaida berkata, walaupun mendapat kecaman sesetengah pihak kerana menjual coklat yang memaparkan wajah Mahathir, dia ‘tidak ambil pusing mengenai perkara itu’.
“Semalam kita dikecam, ada yang tanya kenapa jual coklat yang ada gambar Tun M. Bagi saya, kami (peniaga) bukan ahli politik.
“Lagipun inikan fakta sejarah, beliau tetap bekas Presiden Umno,” katanya yang menjual coklat itu dengan pakej enam presiden Umno dalam harga istimewa RM10.
Dalam pada itu, berbicara mengenai sambutan terhadap produk coklatnya itu, Shuhaida berkata sepanjang lima hari berlangsungnya perhimpunan itu, coklat yang memaparkan muka Presiden Umno sekarang, Datuk Seri Najib Tun Razak paling laris.
“Muka Najib paling laku, diikuti muka Tun Mahathir dan lain-lain bekas presiden,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW