Pesawat Beechcraft King Air 200T yang terhempas ketika sesi latihan di Pangkalan TUDM, Butterworth, petang semalam mengorbankan seorang juruterbang manakala tiga anak kapal cedera. (Gambar: BH Online)
Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang menyatakan faktor cuaca juga tidak menjadi masalah pada pesawat itu ketika terbabit dalam sesi latihan itu. Bagaimanapun, satu pasukan penyiasatan ditubuhkan TUDM untuk mengenal pasti punca pesawat itu terhempas, seperti dilaporkan Bernama.
Dalam kejadian yang berlaku jam 5.18 petang semalam, seorang juruterbang meninggal dunia manakala tiga anggota yang juga anak kapal pesawat itu mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang. Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum menyatakan anggota penyelamat TUDM bertungkus lumus menyelamatkan mangsa yang terperangkap dengan segera dan bantuan kebajikan akan diberikan kepada anggota keluarga mangsa. Punca kejadian akan diumumkan selepas laporan siasatan selesai dalam masa terdekat.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyatakan tiga lagi pesawat Beechcraft King Air 200T diarah tidak boleh beroperasi untuk sementara waktu susulan tragedi semalam dan penggantungan pesawat tersebut tidak menjejaskan operasi TUDM di perairan negara.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW