KUCHING: Deretan patung kucing di tengah bandar Kuching sudah terlalu sinonim kepada pelancong yang berkunjung ke Sarawak. Buat sekian lama, ia menjadi mercu tanda dan tarikan industri pelancongan di sana.
Namun, kini terdapat tarikan baharu yang unik jika anda berkunjung ke sana, sebuah restoran dengan pelayan “istimewa” yang tidak akan dapat anda temui di tempat lain.
Sarawak Tourism Board menerusi laman Facebook mempaparkan Restoran CH Premier di Kuching berjaya tersenarai dalam Malaysia Book of Records kerana menjadi restoran pertama menggunakan robot sebagai pelayan untuk menghidangkan makanan kepada pelanggan.
Dengan kapasiti 4 robot yang fasih berbahasa Mandarin dan berinteraksi dengan pelanggan, restoran ini dijangka mempunyai tarikan tersendiri selain makanan disediakan.
Robot tersebut dinamakan Goddess 1, Goddess 2 dan Goddess 3 serta Loli. Kesemuanya berukuran 156cm tinggi dan 40kg berat, manakala Loli setinggi 110cm dan 35kg berat.
Laporan sebuah portal pula menyatakan robot ini akan mengekalkan jarak kira-kira 15cm daripada sesiapa atau apa sahaja yang menghalang laluannya serta dengan sopan meminta diberikan laluan untuk ia meneruskan tugas.
Tags:
vitdaily