Saya tak seperti Boboi, tak pernah makan dedak – KJ

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mendakwa dirinya tidak pernah meminta apa-apa untuk kepentingan peribadi dan tidak pernah menjadi pemakan dedak.

Saya tak seperti Boboi, tak pernah makan dedak - KJ

Saya tak seperti Boboi, tak pernah makan dedak – KJ

Khairy berkata, ini kerana meskipun tidak memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan beliau tetap membangkitkan pelbagai isu semasa penggal pertamanya sebagai ketua pemuda parti keramat Melayu itu.

“Saya menang dan menjadi ketua pemuda Umno tetapi saya telah dimasukkan ke dalam simpanan.

“Tetapi Boboi yang tewas telah dilantik sebagai Timbalan Menteri tetapi saya tidak kecewa, saya istiqamah (tabah) dengan presiden,” kata Khairy dalam mengakhiri ucapan pada Perhimpunan Agung Umno 2016 di PWTC, hari ini.

Kata Khairy yang juga anggota Parlimen Rembau, beliau dituduh sebagai ‘jahat’ berbanding dengan ‘muka sedih’ dari Boboi.

‘Boboi’ dipercayai merujuk kepada bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Pemimpin Umno dan perwakilan telah merujuk Mukhriz dengan nama samaran itu pada perhimpunan agung Umno kali ini.

Ini adalah satu ejekan jelas terhadap Mukhriz yang didakwa telah diberikan pelbagai jawatan sebelum ini kerana pengaruh bapanya.

Sementara itu, Khairy yang dipertanggungjawabkan untuk menggerakkan fasa awal pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50), berkata ia adalah platform penting untuk negara.

‘Dari bawah ke atas’

Memetik Wawasan 2020 yang diperkenalkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Khairy berkata rancangan itu adalah ‘dari atas ke bawah’, tidak seperti TN50 Najib yang merupakan pendekatan ‘dari bawah ke atas’.

“Saya generasi Wawasan 2020, masa dilancarkan Wawasan 2020 ia hanya di peringkat atasan. Visi Wawasan 2020 ini tak pernah tanya pandangan rakyat tentang aspirasi mereka.

“Tetapi apabila TN50 datang saya diarahkan oleh Najib untuk membuat lawatan ke rumah rakyat dulu, tanya orang muda, bukan hanya orang Umno.

“Ini adalah satu pendekatan dari bawah ke atas, agar kita dapat melihat bagaimana pandangan rakyat diambil kira,” kata Khairy.

Sambil mengakui ia adalah satu tugas berat untuk direalisasikan, Khairy bagaimanapun berjanji akan melakukan yang terbaik untuk menunjukkan kerajaan BN mendengar aspirasi rakyat.

Najib melancarkan TN50 dalam ucapan Bajet 2017 pada Oktober lalu.

Dalam ucapannya perdana menteri itu tidak membuat sebarang rujukan kepada Wawasan 2020 cetusan Dr Mahathir bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju, tetapi berkata sudah tiba masa untuk mengetepikan legasi masa lalu.

Najib berkata kerajaan akan melancarkan satu siri wacana nasional untuk menentukan hala tuju masa depan negara di bawah TN50.

 

Sumber: Malaysiakini



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post