Sayu : Ayah ibu kami rindu ..Munirah terus sebak dan menangis teresak-esak (4Gambar)


ALOR SETAR : "Munirah nak balik rumah, nak balik rumah". Itu rintihan Munirah Mohd Padzil, 6, sebaik mengetahui kedua ibu bapanya Mohd Padzil Rashid, 50, dan Masmiwaza Mohd Noor, 42, meninggal dunia dalam kejadian kemalangan di Alor Punti, Pendang, Sabtu lalu.

Perkara itu diceritakan ibu saudara mereka, Ruslina Rashid, 48, ketika ditemui pemberita di wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, pada Selasa.

Katanya, sebaik dimaklumkan berita itu, Munirah terus sebak dan menangis teresak-esak.

"Munirah hanya cakap mahu balik rumah, saya ingat dia masih tidak percaya berita itu tetapi selepas dipujuk, dia dapat menerimanya walaupun sukar," katanya.

Abang Munirah, Muhammad Asyraf, 11, terus menangis sebaik mengetahui berita itu, katanya.

Ruslina berkata, dalam pada itu Masyitah, 12, dan Muhammad Akmal, 11, sehingga kini masih belum dimaklumkan mengenai berita sedih itu kerana berada dalam keadaan lemah.

"Sebelum ini kami rahsiakan demi menjaga emosi mereka, tetapi selepas berbincang dengan ahli keluarga dan doktor, kami perlu memaklumkan perkara sebenar, cuma Muhammad Akmal yang berada di Unit Rawatan Rapi dan Masyitah belum dimaklumkan," katanya.

Seorang lagi ibu saudara, Muzaini Mohd Noor, 45, berkata, buat masa ini semua anggota keluarga sepakat untuk menjaga kelima-lima anak saudara mereka sebelum memikirkan siapa yang berhak untuk penjagaan sepenuh masa.

"Kedua-dua belah di pihak perempuan dan lelaki bersedia menerima dan menjaga anak-anak ini, tetapi buat masa ini biarlah mereka sembuh dan terserah kepada mereka untuk menetap dengan siapa yang mereka mahu nanti.

"Kami tidak mahu mereka terpisah antara satu sama lain dan saya sendiri pun sedia menjaga mereka," katanya.


lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post