Kesal kerana peguam yang dilantik tidak memberi nasihat sepatutnya bagaimana mendapatkan mutaah yang sebenar dari bekas suami sebagai pemberian dari suami kepada bekas isteri setelah sekian lama si isteri menghambakan diri menjaga makan minum suami, mengandung dan melahirkan anak untuknya. Tetapi apabila si isteri sudah berusia dia diceraikan, dan dibuang seperti sampah dan tidak mendapat ganjaran sewajarnya, seperti apa yang tetapkan dalam al-Quran. Apakah seorang isteri itu langsung tidak berguna kepada bekas suaminya sepanjang pernikahan mereka? Bukankah anak-anak itu lahir dari kasih sayang mereka satu ketika dahulu? Tanya mereka.

Puan Masliana ketika menghubungi berkata, “Apabila memikirkan kepayahan yang saya lalui sepanjang 15 tahun berkahwin dengan bekas suami, saya rasa diri ini langsung tak berguna dan tidak berharga, bukan sahaja kepada bekas suami, tetapi juga kepada peguam dan hakim, saya dapat simpulkan mereka seakan-akan menafikan hak seorang bekas isteri. Ketika bercerai suami minta mahkamah dapatkan keadilan dari segi hadanah, katanya dia mahu ambil atau jaga dua orang anak kami dan dia berikan saya anak bongsu kami berusia lima tahun, sebab susah nak jaga dan tak ada pembantu rumah. Jadi untuk seorang anak dia beri saya RM60 sebulan itu janjinya, sedangkan dia tak beri pun. Peguam suruh saya setuju, sebab katanya bila anak besar akan jumpa saya juga.

“Benar mereka akan jumpa saya, tetapi dari segi pendidikan amat penting, kini setelah empat tahun bercerai, anak saya cuma pergi sekolah sahaja, tidak ke sekolah agama, sebab dia tak mahu buang duit untuk hantar dan ambil anak ke sekolah agama pada sebelah petang. Apalagi hendak keluar duit untuk khidmat van sekolah. Akhirnya anak-anak bukan sahaja tak tahu solat dan mengaji al-Quran, mukaddam tak habis baca. Mereka hidup sendirian ikut pandai sendiri, kalau suka pergi sekolah, malas tak pergi, terutama bila ayahnya terbangun lewat, langsung tak pergi sekolah. Begitu juga sekolah petang, tak ada sapa nak paksa mereka ke sekolah. Ini yang saya tak mahu.

“Apabila anak hidup bebas tanpa kawalan mereka bertindak ikut kata hati. Bila saya nasihat mereka lawan tak mahu dengar nasihat saya. Bila saya beritahu ayahnya, saya pulak kena marah, dituduh mengongkong anak-anak, katanya, biarkan mereka berdikari sebab mereka sudah besar, mereka tahu bezakan antara buruk dan baik.

“Apabila anak-anak dapat sokongan ayahnya, mereka langsung tak mahu terima nasihat saya. Mereka tidak mahu datang ke rumah bila cuti sekolah alasannya banyak kerja sekolah sedangkan mereka lebih suka melepak dengan kawan-kawan dan suka naik motor. Mereka suka duduk dengan ayahnya sebab tidak ada tegahan, mereka bebas ke mana nak pergi sebab ayahnya sibuk dengan hal peribadinya. Saya bimbang masa depan mereka kerana mereka lelaki.

“Itu bab hadanah, untuk mutaah pulak saya cuma diberi RM5,000 sahaja, setelah peguam tolak bayarannya. Apakah itu nilai seorang isteri yang diceraikan oleh suami, sedangkan saya lebih banyak berkorban menguruskan rumah tangga ketika anak-anak masih kecil.

“Contoh siapa bayar duit pengasuh? Beli susu, lampin dan makan minum satu keluarga seramai lima orang. Suami tak tahu beli ikan ayam apa lagi sayur, dia cuma tahu semua makanan tersedia atas meja. Kalau balik kampung saya kena bayar duit petrol alasannya kampung saya jauh, kena tol. Kalau hari raya saya beli pakaian anak-anak dan belikan baju Melayu untuknya.

“Alasannya dia tidak cukup duit sebab kena sewa rumah, sebelum kami beli rumah dan dia bayar ansurannya, serta ansuran kereta dan bil utiliti. Jadi dia kata duitnya dah habis dah belanja lebih kurang RM,000. Kadang-kadang bila habis petrol dia minta duit saya. Kalau dikira kembali, jumlah perbelanjaan saya lebih banyak daripada perbelanjaan dia, sebab rumah kami cuma rumah murah. Dan dia cuma beli kereta terpakai. Sedangkan saya bayar upah pengasuh dua orang anak lebih RM500 tak masuk makan minum kami anak lima beranak, susu anak, lampin pakai buang serta van sekolah, duit saku anak dan sebagainya.

“Begitu juga bila saya tuntut harta sepencarian, peguam saya awal-awal lagi beritahu saya cuma boleh tuntut 30 peratus sahaja jika rumah tersebut dijual, sebab saya tidak sumbang sesen pun bayaran untuk beli rumah tersebut. Amboi sedapnya! Betul rumah itu atas namanya dan bekas suami bayar setiap bulan, tetapi tahukah tuan-tuan hakim dan peguam semua, kalau saya tak beli beras, sayur, ikan dan ayam bolehkan bekas suami dan anak-anak makan? Siapa bayar upah pengasuh, susu anak, ansuran tv, perabut rumah dan sebagainya.

Tuntut

“Sebenarnya dari awal perkahwinan lagi suami beritahu, katanya perkahwinan ini adalah perkongsian hidup, jadi dia suruh saya berkongsi segalanya untuk hidup kami lebih selesa. Saya setuju, jadi dia bayar ansuran rumah, ansuran kereta dan bil utiliti, dan dia suruh saya uruskan semua urusan dalam rumah, makan minum, urusan anak dan segalanya sampaikan beli tuala mandi, berus gigi, sabun, kegunaannya juga saya kena sediakan, apakah itu bermakna saya tidak beri sumbangan?

“Tetapi dalam mahkamah bekas suami beritahu dialah kononnya menyediakan semua urusan makan minum dalam rumah dan bayar ansuran rumah. Maka saya tak berhak tuntut setengah dari harga rumah tersebut. cuma dapat 30 persen jika dijual? Adakah ini adil kepada bekas isteri?

“Memang saya tak boleh buktikan setiap pembelian, kecuali beli di pasar raya saya boleh kumpul resit, tetapi kalau beli, ikan sayur dan ayam di pasar, mana ada resit. Pengasuh rumah pun tak ada sediakan resit. Ingatan saya kepada suri rumah semua anda hendaklah kumpulkan setiap resit pembelian dan beli ikan sayur di pasar hanya di pasar raya sebab ada resit. Pengasuh rumah pun kena buat resit setiap bulan, baru adil sebab hakim dan peguam hendak bukti, mereka tidak percaya isteri uruskan makan minum suami dan anak-anak.

“Ketika anda bahagia memang semua benda itu kita buat ikhlas kerana kita golongan isteri tak ada terfikir nak bercerai berai atau kahwin lain, bukan macam suami mereka ada kuasa talak. Jadi ingatlah, bersedia dari awal supaya tak menyesal macam saya,’’ itu cerita Masliana. Katanya dia bercerai sebab suami nak kahwin lagi, dan dia tak mahu bermadu. Sementara itu Puan Su beritahu, sudah tiga tahun berlalu, kes tuntutan hadanah masih tak lepas, sebab suami sering tak datang ke mahkamah, dan tak mahu beri nafkah selagi saya tak setuju serahkan dua orang anak kami kepada dia. Katanya dia sebagai ayah lebih berhak jaga anak perempuannya.

“Tetapi saya tahu dia tidak ada kemampuan, pertama kerana dirinya sendiri tidak pernah ada disiplin bekerja, sering bertukar-tukar kerja dan tak ada kerja tetap. Kedua saya pasti dia akan serahkan anak-anak untuk dijaga oleh ibu bapanya di kampung. Saya bukan nak menghina, tetapi mereka memang tak mampu uruskan persekolahan anak-anak saya, sebab anak-anak mereka sendiri bersekolah pun tak pernah habis, sedangkan bekas suami saya sendiri cuma lulus tingkatan lima, sementara anak yang lain berhenti takat tingkatan tiga sahaja. Apakah saya bersedia menggadaikan masa depan anak-anak kepada bekas suami yang tidak ada kemampuan apa lagi menguruskan pesekolahan anak-anak kami nanti?

“Lagi pun anak-anak saya sendiri tidak mahu tinggal dengan ayah mereka apa lagi duduk di kampung dengan neneknya. Sebab mereka tak biasa dibesarkan di kampung. Saya juga guna khidmat peguam untuk pertahankan hak saya. Tetapi macam biasalah, bekas suami tak datang mahkamah. Akhirnya keputusan hakim kes ditangguhkan. Tangguh! Tangguh! Sampai bila?

Puan Liana pula beritahu, suaminya ceraikan dia dengan berbohong, katanya, saya isteri nusuz. Lari tinggalkan rumah, sedangkan sebenarnya dia tak pulang ke rumah selama dua bulan sebab ada kekasih lain. Maklum dah pencen duit banyak ramai wanita nak himpit.

“Dia halau saya keluar rumah selepas bercerai, nasib anak-anak ada rumah mereka bela saya, tapi anak-anak pula kena pukul. Saya mengadu pada polis, polis suruh jumpa pegawai jabatan kebajikan, tapi semua lepas tangan. Saya gagal dapatkan surat perintah tegahan, masalahnya bekas suami sentiasa mengugut.

“Kerana saya tak mahu keluar rumah. Dia panjat pagar yang bermangga nak kopak pintu rumah nasib jiran ada mereka tolong leraikan. Kemudian datang lagi kali ini nak buat aniaya pada kereta saya, nasib jiran bantu, namun tayar kereta saya jadi mangsa digilis pisau.

“Dia halau saya sebab rumah itu atas namanya, sedangkan rumah itu saya beli dan bayar sendiri. Maklumlah ketika itu saya percaya dan sayangkan suami,saya beli rumah letak nama suami. Saya langsung tak terfikir begini akhirnya. Rupanya orang lelaki ini bila tak ada duit dia kenal anak isterinya. Tapi bila ada rezeki jatuh ke riba dapat gratituti banyak bila bersara dia lupa diri dan buang anak isteri semuanya kerana wang sudah banyak di tangan. Dia jadi gelap mata.

“Namun saya akan berusaha dapatkan rumah ini semula, dan akan dapatkan nafkah anak-anak yang sudah lebih setahun tidak diberi sesen pun sejak saya diceraikan. Inilah nasib wanita, ketika muda disayangi setelah tua, suami cari daun muda untuk dimamah,‘’ itu cerita Liana dengan masalahnya.

Kepada anda semua jika ada masalah guaman jangan lupa hadir ke perjumpaan bulanan Kumpulan Sokongan Ibu Tunggal (KSIT) atau telefon 019-23293419. Insya- Allah kami bersedia membantu.