Bukan aktivis dan orang politik saja yang tertanya-tanya tarikh kedatangan pilihan raya ketika kehangatannya kian terasa, malah ia turut mendapat perhatian orang biasa.
Ia berlaku kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika beliau menaiki kapal terbang dari Kedah ke Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Jamil Khir, seseorang yang tidak dikenalinya bertanyakan “soalan cepu emas” berkaitan tarikh PRU14 akan diadakan.
Bagaimanapun walaupun berjawatan menteri, beliau sendiri tidak tahu menahu bilakah PRU akan diadakan.
Kepada individu dari Baling, Kedah dan dalam perjalanan ke Kudat, Sabah itu, Jamil Khir sekadar menjawab: “Hanya Tuhan dan perdana menteri saja yang tahu bila PRU ke-14.”
Jamil berkata demikian ketika berkongsi cerita ketika menaiki pesawat pagi tadi bagi menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Alumni Kelab-kelab Umno Luar Negara kali ke-15 di Menara Dato’ Onn di Kuala Lumpur.
Kenyataan itu sekali gus menjelaskan bahawa beliau sendiri tidak tahu kedatangan PRU ke-14 akan diadakan meskipun ramai yang menjangkakan ia akan berlangsung sekitar Mac dan April tahun depan.
“Saya naik kapal terbang tadi ada orang dari Baling nak pergi bertugas dekat dengan Kudat. Dia kata, Datuk, bila nak PRU?
“Dia bagi soalan cepu emas. Saya kata beginilah: (Pada suatu ketika), saya ke Indonesia dan melihat (pergerakan) ojek sekejap ke kiri sekejap ke kanan. Ikut sedap dia saja.
“Jadi saya tanya, ojek ini mahu ke mana dan bagaimana?
“Dia (pemandu) jawab, ojek ini tiada siapa yang tahu ke mana mahu pergi. Hanya Tuhan saja yang tahu.
“Begitu juga keputusan bilakah pilihan raya akan dibuat, tidak ada siapa yang tahu melainkan perdana menteri dan Tuhan saja.
“Jadi, jangan tanya sama saya. Tapi yang pasti pilihan raya adalah ke hadapan dan paling lewat Jun 2018,” kata Jamil disambut gelak tawa alumni dan hadirin.
Sementara itu mengulas mengenai konflik etnik Rohingya di Myanmar, Jamil Khir berkata, pemenang anugerah keamanan Nobel, Aung San Suu Kyi, seolah-olah dibutakan mata dan dipekakkan telinga serta dikunci mulutnya.
Katanya, Suu Kyu pernah menjadi topik perbincangan dan mendapat sokongan rakyat negara ini kerana berjuang menuntut demokrasi di Myanmar.
“Tetapi hari ini kita lihat mulutnya seakan dikunci mati, matanya sudah terpejam rapat, telinganya sudah tertutup untuk mendengar rayuan-rayuan orang Rohingya,” tegas Jamil.
Suu Kyi kini dilihat enggan mengulas atau membela nasib penduduk Islam Rohingya yang terus-menerus ditindas oleh kerajaan negara itu.
Sumber: Malaysiakini
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW