JUDI LEMBU SADO DI EKSPO MAHA 2016?
Saya ditanya oleh seorang peserta berkenaan satu pertandingan meneka berat seekor lembu Sado yang diadakan di Ekspo MAHA yang berlansgung di MAEPS ketika ini. Semua peserta yang ingin menyertai dikehendaki membayar :-
1 tekaan : RM 10
3 tekaan : RM 20
Pemenang akan mendapat hadiah seekor lembu bernilai RM 20,000 serta beberapa lagi hadiah lain bagi hadiah iringan.
Jawapan saya
Saya mengambil info dari seorang peserta yang tentunya tahu maklumat pertandingan ini. Berdasarkan info yang diberi serta membaca sendiri penjelasan di wall seperti Nordin Mat etc, pertandingan itu adalah jelas sebuah perjudian. Ia mempunyai ciri judi yang didefinisi oleh Ulama seperti al-baijuri adalah :-
هو كل لعب تردد بين غرم وغنم
Ertinya: Suatu pertandingan yang mana peserta terdedah untuk sama ada kerugian atau meraih untung. (Hashiah Al-Baijuri, jil2, hlm521)
Selain itu, ia juga terbina di atas bayaran untuk menang secara nasib (game of luck or pure chance), walaupun tekaan itu mempunyai sedikit elemen usaha iaitu meneka, namun ia tetap punyai elemen ‘nasib’ yang besar kerana ia diteka oleh orang awam yang tiada ilmu berkenaan berat lembu serta tiada mekanisme jelas usaha yang boleh diukur.
Ia turut punyai elemen judi yang seterusnya iaitu ‘Zero sum game’ iaitu pemenang akan ambil keuntungan dari mereka yang kalah.
Ia masih pada hukum judi walaupun jika penganjur berkata bahawa duit yuran yang dibayar peserta itu akan disalurkan kepada kegunaan lain hatta ke Palestin sekalipun, setiap bayaran dikenakan bagi menyertai pertandingan secara rela paksa & berpeluang menang lebih besar secara nasib, pertandingan itu akan tetap menjadi judi.
Ia masih menjadi judi, hatta hadiah disumbang dari pihak ketiga yang tidak menyertainya. Ia tetap menjadi judi bagi semua peserta yang menyertainya dengan bayaran yuran tertentu dan berpeluang pula menang lebih banyak untung jika tekaan tepat atau kalah wang penyertaan jika tekaan mereka salah.
ADA PIHAK YANG HARUSKAN ?
Saya juga difahamkan terdapat pihak yang mengharuskan atas hujjah hadiah sponsor dari pihak ketiga. Namun kelihatan pihak yang memberi hukum harus telah terkeliru. Perlu faham bahawa terdapat dua jenis judi, setiap satu punyai syarat yang sedikit berbeza dari yang lain, dua jenis itu adalah :-
1. Suatu pertandingan yang ada yuran dan hadiah pemenang diambil dari wang terkumpul peserta. Namun syarat pertandingan jenis ini adalah pertandingan berdasarkan usaha yang jelas seperti sukan futsal, badminton etc. yang mana kepakaran dan latihan sebagai penentu pemenang. Justeru, pertandingan dari jenis ini, jika terdapat hadiah dari pihak ketiga yang tidak menyertai, ia akan mengubah hukum pertandingan kepada harus. Kategori ini, tidak terpakai kepada teka berat lembu sado yang mana pemenang berasaskan nasib hasil tekaan bukan usaha fizikal.
2. Suatu pertandingan yang ada yuran dan pemenang ditentukan dengan nasib. Judi dari jenis yang ni, hadiah sponsor pihak ketiga tidak mengubah status judi. Menggunakan hasil kutipan yuran kepada maslahat pihak tertentu yang lain juga tidak mampu menjadikan pertandingan itu sebagai harus. Kelak nanti, ada pula yang berjudi di Genting HIghlands dan menyatakan, ia harus kerana akan digunakan wang untuk maahad tahfiz etc.
Masalah teka lembu sado masih tersangkut pada jenis kedua. Namun kelihatan mereka keliru sehingga tercampur-campur jenis lalu tersalah menghukum harus.
JIKA DAH MENANG ?
Justeru itu, sesiapa yang menenanginya haram mengunakan wang kemenangan itu dan mesti menyerahkannya kepada faqir miskin. Faqir miskin HALAL mengambilnya disebabkan ia telah menjadi neutral kembali ke atas diri mereka kerana mereka punyai sebab diiktiraf syara’ untuk menerima wang sebegitu. Pembersihan cara ini juga datang dari sabdaan Nabi saw
من قال لصاحبه تعال أقامرك فليتصدق
Erti : sesiapa yang berkata saudaranya, “mari aku bertaruh denganmu” maka (jika menang) wajiblah dia menyedeqahkan (wang kemenangan itu). (Al-Bukhari dan Muslim)
Bagi penganjur, ketahuilah judi itu HARAM hukumnya dan jangalah mana-mana syarikat menganjurkan pertandingan yang serupa dengannya.
Ia hanya TIDAK JUDI jika peserta masuk meneka secara percuma tanpa bayaran.
Atau, peserta tidak diwajibkan membayar, terpulang sesiapa ingin membayar sebagai sedeqah atau tidak bayar, namun semua masih boleh sertai, barulah ia TIDAK JUDI juga.
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Presiden MURSHID
Sumber: Dr. Zaharuddin Abd Rahman
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW