Terkejut dalam tose ada lipas, makan di restoran mamak Sri Gombak

Sebuah keluarga terbantut selera makan apabila tose dipesan mengandungi ‘rencah’ lipas di dalamnya.

Dalam kejadian awal pagi semalam, pengadu yang mahu dikenali sebagai Shah, 43, bersama isteri dan anaknya ke sebuah restoran mamak terletak di Sri Gombak untuk menikmati sarapan pagi.

Menurutnya, isterinya memesan mi goreng sementara anaknya pula memesan tose.

“Dah separuh makan baru nampak lipas dalam tose tersebut. Bila tunjuk kepada pekerja mereka hanya minta maaf dan makanan tersebut tak dikenakan bayaran.

“Dia mahu gantikan makanan baru tapi kami tolak sebab dah tak ada selera makan dah. Selalu juga makan di sana dan ini adalah kejadian pertama,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat kesihatan dapat memeriksa restoran tersebut kerana beroperasi dalam keadaan kotor.

“Saya nampak lipas dan tikus berkeliaran di bahagian memasak. Begitu juga di bahagian belakang kedai.

“Saya akan boikot restoran itu dan tak akan ke sana lagi selepas insiden ini. Restoran tersebut dah beroperasi lama dan terkenal di kalangan penduduk sekitar sini,” katanya.

Shah berkata, ketika kejadian restoran tersebut dipenuhi pelanggan yang menikmati sarapan pagi.

“Mereka tak perasan kes ini sebab saya tak buat kecoh, sekadar ke kaunter untuk maklumkan kepada pekerja mereka.

“Saya harap sangat restoran itu diperiksa sebab ia melibatkan isu kebersihan dan keselamatan pelanggan di sana yang dikhuatiri boleh memudaratkan kesihatan,” katanya.

Menurutnya, perkara tersebut turut dikongsi melalui hebahan dalam grup WhatsApp untuk perhatian pihak berwajib kawasan.

 

Sumber: Sinar Harian



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post