Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa dalam nada sinis berkata walaupun seseorang itu gagal, masih ada yang boleh dimanfaatkan daripadanya.
Kenyataan yang ditulis Annuar dalam laman Facebooknya pada Ahad dipercayai sebagai reaksi balas terhadap kritikan Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menegaskan beliau tidak perlu menerima nasihat daripada seorang pemimpin yang gagal untuk membuat keputusan menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau sebaliknya.
Baca artikel sebelum: “Saya tidak perlu terima nasihat daripada seorang pemimpin yang gagal” – TMJ
“Dari orang yg berjaya ada sesuatu yang boleh dipelajari… dan dari orang yang gagal juga mungkin banyak yang boleh dimanfaati,” katanya.
Beliau berkata, apa yang penting adalah hidup bersederhana, sedia dinasihati dan menasihati dengan niat yang jujur dan baik.
“Namun ada kalanya diam itu lebih baik dari berkata-kata,” kata Annuar.
Pada malam Sabtu, Tunku Ismail menyelar kenyataan Annuar yang mempertikaikan cadangan Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa) supaya FAM ditadbir secara proksi.
Annuar mendakwa cadangan melantik Tan Sri Aseh Che Mat sebagai presiden untuk membolehkan Tunku Ismail terbabit dalam pengurusan FAM tidak boleh diterima kerana melanggar statut badan induk berkenaan.
Susulan itu, Tunku Ismail dalam satu kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers berkata, setiap kali sebuah kelab bola sepak atau syarikat menghadapi masalah kewangan, ia dipanggil kelemahan pengurusan dan secara tidak langsung mencerimkan sikap pemimpin tersebut.
“Apabila anda berada dalam kedudukan di mana anda mempunyai banyak penaja, anda sepatutnya menggunakan peluang itu untuk melangsaikan semua hutang.
“Namun anda membuat keputusan dengan mengambil khidmat jurulatih import baharu dan tiga pemain import kebangsaan.
“Dengan keputusan itu, orang yang menjadi mangsa adalah pemain tempatan kerana mereka tidak menerima gaji. Sepatutnya, keutamaan harus diberikan kepada pemain tempatan dan bukannya pemain import.
“Ia jelas menunjukkan bahawa anda terlebih membayar pemain import dan hasilnya, anda tidak mampu untuk mengekalkan kelab.
“Perkara itu tidak berakhir di sini, kita dapat lihat prestasi Kelantan mulai merosot dan cukup jelas bahawa kapal tersebut mulai karam.
“Lebih memburukkan lagi keadaan sebagai nakhoda kapal, anda memilih untuk meninggalkan kapal tersebut, dan membiarkan anak-anak kapal anda menderita. Dengan situasi tersebut, anda masih ada keinginan untuk menjadi Presiden FAM,” kata Tunku Ismail dalam satu kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers, malam Sabtu.
Kelantan kini dalam situasi tenat dan mungkin terpaksa menarik diri daripada menyertai saingan Liga Malaysia musim depan selepas berdepan keadaan kewangan yang sangat parah.
Sumber: MStar
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW