Gitaris kumpulan Kristal iaitu Rody menyangkal laporan kononnya dia sudah pun bertemu dengan keluarga Kaka Azraff baru-baru ini untuk merisik penyanyi lagu Bukan Hal Aku itu sebagai isteri.
Rody atau Mohd Rodi Baharudin, 31, sebaliknya berkata, dia tidak tahu bagaimana perkara itu boleh tersebar kerana ia sama sekali tidak benar.
“Saya sendiri tidak tahu dari mana cerita saya merisik Kaka itu boleh tersebar atau siapa sumber yang menyebarkannya.
“Apa yang pasti ia tidak benar dan sekiranya betul buat apa hendak merisik baik terus bertunang,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Ahad.
Sebelum ini, mereka pernah dikhabarkan akan bertunang pada 1 Januari lalu namun ia terpaksa ditangguhkan.
Kaka dalam satu kenyataan juga turut menyangkal dakwaan berkenaan dan memberitahu mereka tidak pernah merancang untuk bertunang buat masa ini.
Dalam pada itu, Rody tidak menafikan dia kini mempunyai hubungan istimewa dengan Kaka namun menjelaskan mereka masih dalam peringkat mengenali hati budi masing-masing.
Kata Rody, dia tertarik dengan wanita berusia 28 tahun itu kerana sifatnya yang lembut selain dia mempunyai cara tersendiri.
“Saya dan Kaka memang rapat sekarang tetapi berilah kami peluang untuk kenali hati budi masing-masing terlebih dahulu.
“Soal jodoh ini kami letakkan kepada ketentuan Allah dan kami hanya merancang, jadi doa-doakanlah yang terbaik buat saya dan Kaka,” katanya.
Sumber: Mstar
Sumber Buat apa merisik baik bertunang terus, jawab Rody Kristal bila ditanya tentang gosip bersama Kaka Azraff