Majalah ekonomi antarabangsa The Economist tidak berlapik langsung dalam analisis mereka mengenai Datuk Seri Najib Razak dan peluangnya jika pilihan raya umum secara mengejut.
Malah pada perenggan pengenalannya pun analisis itu sudah tebal sindirannya.
“Berikan tepukan gemuruh, tuan-tuan dan puan-puan.
“Mana-mana pemimpin biasa bagi demokrasi biasa, apabila didapati bersama hampir AS$70 juta wang yang tidak dijelaskan dengan baik daripada seseorang penderma asing tidak dikenali dalam akaunnya, akan akan jatuh segera.
“Namun hampir dua tahun selepas berita pertama mengenai akaun bank Najib begitu banyak, langkahnya berterusan,” tulis rencana itu.
The Economist juga menyatakan, selain tidak dipaksa untuk berundur perdana menteri boleh dikatakan berada di kemuncaknya, mendapat sokongan padu daripada Umno dan terus tidak tergugat ketika beberapa negara menyiasat dakwaan salah laku kewangan dalam 1MDB.
“Kekal berkuasa membantunya mengelakkan sebarang risiko berdepan tindakan pendakwaan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Berdasarkan itu, majalah berkenaan menyatakan faktor-faktor yang membolehkan perdana menteri terus mengukuhkan kuasanya di tengah keadaan itu.
Dalam proses itu, penulisnya membidas Rosmah Mansor yang didakwa gemar kepada beg tangan mahal.
“Penguasaan berperanan besar. Walaupun isterinya mempunyai selera yang besar untuk beg-beg Hermes Birkin, dan perkahwinan anak perempuannya dengan anak saudara presiden Kazakhstan menjadi majlis bergemerlapan dan media Malaysia tidak digalakkan untuk menerbitkan gambarnya, Najib mungkin betul apabila dia berkata wang tunai dalam akaun beliau bukan untuk kepentingan peribadi.
“Seorang pemimpin Umno memerlukan wang untuk membeli kesetiaan ahli-ahli politik yang berkuasa. Ia juga berguna untuk menyebarkan imbuhan di kalangan orang Melayu biasa – termasuk membantu orang Islam melaksanakan haji,” katanya.
Menuduh Najib sebagai ancaman, rencana itu juga memetik pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penahanan Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah.
“Akhbar dan penulis blog diburu. Bilangan aktivis dan ahli politik didakwa kerana menghasut melonjak. Mengenai 1MDB, satu-satunya kesalahan berkaitannya yang disabitkan di Malaysia ialah seorang wakil rakyat kerana memberi maklumat tentang salah laku pengurus-pengurus dana,” tambah rencana berkenaan.
The Economist juga mendakwa kejayaan Donald Trump memenangi pilihan raya presiden AS mungkin menambah keyakinan Najib, menjadikannya ancaman daripada 1MDB akan dapat diatasi.
“Perlu diingat, antara siasatan paling teliti setakat ini adalah oleh Jabatan Kehakiman AS…
“Namun, presiden Amerika yang akan datang, Donald Trump, bercakap mengenai kekagumannya kepada Najib, seorang rakan golf.
“Mungkin sukar bagi jabatan berkenaan untuk meneruskan siasatan penuh jika Trump menyatakan rasa tidak senangnya,” kata penulis berkenaan.
Mengenai pilihan raya umum rencana itu mendakwa Najib berharap kepada kegagalan pembangkang bersatu, namun mengingatkan ada ruang yang luas untuk berlaku kejutan.
“Pertambahan jumlah orang yang bersimpati kepada pembangkang, kata seseorang yang berpengalaman dalam politik, perlu untuk mengatasi Umno.
“Calon yang jelas ialah Muhyiddin Yassin, bekas timbalan perdana menteri Umno yang bertelagah dengan Najib berhubung 1MDB.
“Tahun lalu beliau dan Dr Mahathir Mohamad, yang mentadbir negara selama 22 tahun, menubuhkan sebuah parti Melayu untuk mencabar Najib.
“Pembangkang perlu menunduk dan mengorbankan beberapa prinsip untuk meminta Muhyiddin menjadi pemimpin mereka. Namun dia berkongsi sebahagian daripada agenda reformasinya dan boleh mengubah peluang pembangkang untuk menang,” tambahnya.
Artikel itu juga mendakwa Najib bukan sekadar berdepan dengan tentangan pembangkang tetapi juga ekonomi.
“Sejak April, mata wang jatuh hampir suku, membayangkan kelemahan harga minyak – suatu eksport penting – dan kebimbangan terhadap kronisme bawah Najib (Malaysia berada di kedudukan kedua selepas Rusia dalam indeks kapitalisme kroni The Economist).”
Bantuan China menyelamatkan 1MDB mungkin memberi lebih masa kepada Najib namun belanjawan diikat oleh pertumbuhan ekonomi yang lembab.
“Jika dia gagal memastikan wang terus mengalir, mungkin penyokong setia akan meninggalkannya serta-merta. Justeru jika ada sesuatu yang menyebabkan perdana menteri tidak tidur malam, ia mungkin suatu masa depan tanpa rakan-rakan,” katanya.
Sumber: Malaysiakini
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW