Peniaga berusia 30 tahun melecur paha kiri selepas telefon pintar yang disimpan di poket kiri seluarnya tiba-tiba meletup, 8 Januari lalu.
Kejadian kira-kira 10 pagi itu turut menjadi tular di laman sosial.
Menurut mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Adi berkata, dia yang ketika itu menghadiri Majlis Khatam al-Quran di Rawang terkejut apabila telefon bimbitnya itu meletup dan terbakar tanpa disedarinya.
“Ketika itu, saya sedang memangku anak perempuan berusia tiga tahun di bahagian kanan paha. Saya mendengar bunyi letupan kecil dan asap keluar dari poket.
“Saya mendapati telefon bimbit itu terbakar dan terus mengeluarkannya daripada poket seluar serta membalingnya ke tempat yang lebih selamat. Letupan menyebabkan paha kiri saya melecur dan menampakkan isi daging.
“Paha saya melecur hampir 30 peratus sehingga tidak mampu berjalan hampir tiga hari berikutan ia membengkak akibat insiden berkenaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurutnya, dia kini trauma dengan kejadian itu dan menjalani rawatan di Hospital Selayang.
“Nasib baik ia bukan berlaku ketika saya menjawab panggilan, kalau tidak lagi teruk di mana letupan itu akan mencederakan muka saya.
“Ini adalah kejadian pertama dan Alhamdulillah, anak perempuan saya juga selamat apabila letupan itu tidak mengenainya. Saya umpama membawa bom menghadiri majlis khatam itu,” katanya.
Katanya, dia membeli telefon bimbit baru itu dengan harga RM2,460 di kedai telefon bimbit di Sungai Buluh, Selangor pada Mei tahun lalu.
Sumber: Harian Metro
Sumber Iphone 6 meletup dalam poket seluar ketika Majlis Khatam al-Quran