TREND atau mengejar populariti? Umum mengetahui generasi kini sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan ‘Like’, ‘Share’ di laman sosial seperti Facebook, Instagram atau lain-lain.
Walaupun bukan kali pertama kita mendengar kisah individu panjat bangunan tinggi tapi tindakan sekumpulan remaja yang memanjat papan tanda gergasi tulisan ‘IPOH’ memang menggemparkan negara.
Bila gambar mereka mulai viral, pelbagai komen dan pandangan daripada netizen muncul di ruangan maya. Ada yang kagum malahan tidak kurang yang mengecam.
Pihak kerajaan tempatan dalam satu kenyataan pula menafikan telah memberikan kebenaran untuk aktiviti sedemikian.
[ARTIKEL BERKAITAN: Panjat ‘Ipoh’, kumpulan remaja akan disiasat]
[ARTIKEL BEKAITAN: Dakwa MBI beri kelulusan tak benar]
Sinar Online melakukan carian kami di ruang internet dan media sosial (Instagram) yang akhirnya menemukan kami dengan foto-foto lain invidu ‘berani mati’ di negara ini.
Rupa-rupanya aktiviti sedemikian juga dilakukan oleh beberapa pelayar lain, antaranya seorang lelaki yang telah memuatnaik fotonya berada di atas bumbung Stadium Shah Alam dan puncak menara pencawang TM.
Selain itu, pada 2015, dua individu diberi amaran keras oleh Kementerian Wilayah Persekutuan selepas memanjat jambatan Seri Wawasan di Putrajaya.
Aksi panjat berkenaan, yang dikenali global sebagai ‘buildering’ atau ‘scaling’ adalah aktiviti memanjat bangunan atau struktur lain tanpa menggunakan sebarang alat keselamatan.
Perbuatan sedemikian berisiko tinggi selain melanggar undang-undang jika tidak diberikan kebenaran memanjat oleh pemilik premis, pemilik struktur atau kerajaan tempatan.
Di luar negara, aktiviti seperti ini sudah berada di tahap ekstrem sehingga ada yang maut selepas terjatuh dari aras tinggi semata-mata mahu mengambil foto untuk di muatnaik ke laman sosial.
Pada Oktober 2015, seorang remaja di Rusia maut selepas terjatuh dari bumbung sebuah bangunan setinggi sembilan tingkat semasa melakukan aktiviti tersebut.
Seorang lelaki pula maut selepas jatuh terhempas di atas bumbung sebuah hotel di Manhattan ketika memanjat sebuah menara di bumbung hotel berkenaan pada Disember 2015.
September 2016, kes serupa berlaku di Rusia apabila proses mengambil swafoto gagal dan mangsa jatuh dari sebuah bangunan tinggi.
Bagaimanapun, ada juga individu yang terlepas ‘cengkaman maut’ tetapi ditangkap sebaik sahaja turun dari bangunan yang dipanjat.
Pada April 2016, seorang lelaki ditangkap selepas memanjat bahagian tepi bangunan Trump Tower di Amerika Syarikat.
Seorang lelaki yang digelar ‘French Spiderman’ didakwa di mahkamah selepas ditangkap polis kerana memanjat sebuah pencakar langit di Sydney, Australia pada Januari 2012.
Pada Februari 2012, dua individu dicari oleh polis selepas foto mereka memanjat menara Shanghai tersebar.
Seorang lelaki warganegara Malaysia sendiri didakwa dan didenda mahkamah selepas didapati bersalah memanjat Sentrum Tower di KL Sentral pada Jun 2014.
Dua bulan kemudian, foto seorang gadis di atas bangunan tinggi tersebar dan mendakwa memanjat sambil mengenakan persalinan kebaya penuh bersama lelaki yang didakwa dan didenda sebelum ini.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW