Penyanyi remaja, Aiman Tino, 19, mengaku pernah membuat eksperimen berjalan sendirian di pusat beli-belah di ibu negara untuk melihat sejauh mana tahap popularitinya.
Aiman atau nama penuhnya, Aiman Yusri Ishak bagaimanapun terkejut dan tidak menyangka, tindakannya itu menjerat diri gara-gara diserbu peminat.
“Bukanlah saya nak berangan, tapi sejak lagu Ku Rela Dibenci menjadi fenomena, saya mahu melihat sejauh mana masyarakat mengenali saya. Apakah mereka tahu lagu semata-mata atau rupa paras penyanyinya.
“Tetapi tak sangka pula, saya dikerumuni peminat. Namun, saya tetap melayan mereka dengan baik,” katanya kepada BH Online.
Tambah Aiman, berikutan insiden itu, dia tidak lagi keluar sendirian, sebaliknya ditemani keluarga atau rakan-rakan.
Dalam perkembangan lain, single terbaharu Aiman berjudul Permata Cinta sudah mula diputarkan di stesen radio tempatan.
“Alhamdulillah, Permata Cinta mendapat maklum balas yang baik daripada peminat. Risau jika lagu itu tidak menjadi kerana peminat meletakkan harapan tinggi untuk lagu baharu ini.
“Bukan senang, apabila single pertama menjadi fenomena, peminat mahu lagu baharu kita lebih baik,” katanya.
Aiman berkata, dia sedang menjalani proses rakaman album pertama yang diterbitkan bapanya sendiri.
Aiman juga bakal berduet dengan penyanyi seangkatannya, Sufian Suhaimi, tidak lama lagi.
Sumber: Bharian
Sumber Lepas diserbu peminat, Aiman Tino serik keluar bersendirian ke pusat beli-belah