Kumpulan lapan remaja yang memanjat papan tanda Ipoh di Jalan Kuala Kangsar di sini baru-baru ini mengakui telah belajar daripada kesilapan akibat aksi berbahaya mereka.
Salah seorang remaja berkenaan, Norfarihan Baharudin, 23, berkata, kejadian itu yang tular di laman sosial menyedarkan mereka bahawa aktiviti lasak perlu dilakukan mengikut saluran yang betul.
Baca artikel sebelum: Geng panjat mercu tanda Ipoh dibebaskan
Justeru, dia meminta sesiapa yang berniat melakukan perbuatan serupa agar membatalkan hasrat tersebut.
“Saya dan rakan-rakan sudah belajar daripada kesilapan ini dan berharap masyarakat mengambil iktibar atas apa yang telah berlaku.
“Jadikan isu ini sebagai iktibar kepada mana-mana individu yang ingin atau berniat untuk mencuba sesuatu seperti kami supaya membatalkan hasrat tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini.
Semalam, kesemua lima lelaki dan tiga perempuan dalam kumpulan itu berusia dalam lingkungan 20 hingga 24 tahun tampil memberi keterangan di Balai Polis Kampung Tawas selepas menerima kecaman hebat masyarakat gara-gara melakukan aksi berbahaya itu.
Dalam pada itu Norfarihan berkata, kejadian yang berlaku itu tidak melunturkan hasratnya untuk terus menceburi sukan lasak kerana dia sememangnya penggemar aktiviti tersebut sejak dahulu lagi.
Menurutnya, aktiviti berkenaan walau bagaimanapun akan dilakukan mengikut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.
“Betul, saya akan teruskan minat tetapi mungkin bukan di negara ini. Di Malaysia, mungkin dianggap terlalu bahaya untuk melakukan aktiviti seperti ini,” katanya.
Sementara itu, semakan di laman Instagram Norfarihan mendapati gadis itu memuat naik gambar dengan kata-kata positif berbunyi `Memilih Untuk Optimistik, Itu Lebih Baik’ ( Choose To Be Optimistic, It Feels Better).
Norfarihan mengungkapkan kata-kata itu sebagai menghargai sokongan yang diberikan oleh rakan-rakan dalam laman Instagramnya kerana memahami situasinya ketika ini.
Sumber: Utusan Online
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW