Pertemuan pertama penuh makna

“Pertemuan pertama bersama Tunku Idris dirasakan sangat bermakna apatah lagi hanya kami sekeluarga sahaja sempat merakamkan gambar kenangan bersamanya,” itu reaksi Sofiah Maulad Yusuf, 28, berkongsi detik istimewanya ketika menerima kunjungan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim.

Pertemuan penuh makna

Menurut Sofiah, dia tidak sangka permintaanya bergambar bersama keluarga diraja itu tertunai.

“Masa tu takut juga nak minta ambil gambar memandangkan Tunku sudah mahu berangkat pulang tapi saya katakan kepada suami supaya cuba bertanyakan kepadanya terlebih dahulu.

“Reaksi spontan beliau mengatakan ‘boleh’ sambil tersenyum membuatkan kami gembira.

“Ternyata kerabat keluarga diraja Johor sememangnya berjiwa rakyat sedangkan keadaan kami ketika bertemunya langsung tidak mengikut protokol,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Sialang, di sini, semalam.

Katanya, dia memang mengagumi Tunku Temenggong Johor itu dan sentiasa mengikuti perkembangannya di laman Instagram.

Sofiah berkata, kesudian Tunku Idris meninjau pusat pemindahan banjir di situ juga menceriakan penghuni selain memberikan sinar kepada mereka bagi menempuh ujian pada masa ini.

Terdahulu, keberangkatan tiba Tunku Idris ke pusat pemindahan banjir di SK Sialang, di sini, disambut Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang juga merangkap Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir Hamim Samuri serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serom, Abd Razak Minhat.

Beliau yang tiba di pusat pemindahan itu kira-kira 11.15 pagi meluangkan masa lebih kurang 10minit beramah mesra dan meninjau keadaan mangsa banjir.

Dalam lawatan singkat itu, Tunku Idris turut menyampaikan sumbangan barangan kesihatan dan keperluan makanan kepada 14 mangsa banjir dari Kampung Seberang Gajah, di sini, sebelum meneruskan lawatan beliau ke pusat pemindahan SK Bukit Rahmat, Grisek, Tangkak.

 

Sumber: Sinar Harian



Sumber Pertemuan pertama penuh makna

Post a Comment

Previous Post Next Post