“Sudikah anda derma buah pinggang untuk anak saya?” Rayu pasangan suami isteri ini

Sepasang suami isteri merayu kepada sesiapa yang sudi untuk mendermakan buah pinggang kepada anak bongsunya, Rayna Hafiyya Mohammad Firdaus, 5, demi meneruskan kehidupan yang lebih baik selepas dimaklumkan buah pinggang mereka tidak sesuai untuk anaknya.

"Sudikah anda derma buah pinggang untuk anak saya?" Rayu pasangan suami isteri ini

“Sudikah anda derma buah pinggang untuk anak saya?” Rayu pasangan suami isteri ini

Bapa Rayna, Mohamamad Firdaus Bohari, 36, berkata, dia berharap sangat ada orang yang sudi mendermakan buah pinggang kepada anak perempuannya selepas mendapat tahu kedua -dua buah pinggang anaknya gagal berfungsi dengan baik atau lebih dikenali dengan nama “End Stage Renal Failure”

Menurutnya, sepanjang lima tahun Rayna tidak menunjukkan sebarang masalah malah menjalani kehidupan seperti kanak -kanak yang normal namun bulan lepas ujian darahnya menunjukkan penurunan yang semakin merosot.

“Ketika pemeriksaan tu doktor pakar memaklumkan Rayna perlu mula menjalani rawatan dialisis untuk mencuci darah pada  31 Januari 2017 di Hospital Selayang sebelum pembedahan memasukkan tiub melalui perut dilakukan nanti.

“Keadaan itu membuatkan saya dan isteri bimbang. Rayna masih kecil dan kesianlah jika dia terpaksa menjalani proses dialisis setiap hari dan memakai alat khas yang bersambung dengan hos ke pinggangnya nanti,” katanya kepada Sinar Harian ketika menerima kunjungan pelbagai pihak termasuk ahli jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Telok Datok dan wakil Puteri Umno Bahagian Kuala Langat di rumahnya, hari ini.

Mohammad Firdaus dan isteri, Siti Balqis Mohd Nordin,33, yang merupakan kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat berharap sangat penyakit kegagalan buah pinggang tahap akhir anak bongsunya dapat diubati.

Katanya lagi, selain mendapatkan penderma buah pinggang yang sesuai, pasangan suami isteri ini juga  berusaha untuk mendapatkan mesin dialisis bagi kegunaan anaknya nanti.

“Mula-mula saya macam tak percaya bila doktor sahkan penyakit anak saya itu. Saya rasa kesian sangat memandangkan dia masih muda dan kecil.

“Tapi nak buat macam mana mungkin dugaan kami namun kami berharap sangat pelbagai usaha dapat kami ikhtiarkan,” jelas ibu Rayna, Siti Balqis.

Menurut ibu kepada dua anak ini, keadaan Rayna juga dilihat semakin cepat letih sejak sebulan ini sekali gus dia dan suami mengehadkan aktivitinya supaya tidak terlalu aktif.

 “Apa yang lebih merisaukan berat Rayna juga hanya 10 ke 11 kilogram dan ibu mana yang sanggup tengok anak sakit macam itu.

“Kalau ada pihak yang sudi derma buah pinggang, memang kami amat alu-alukan bagi membantu dalam kurangkan beban anak saya itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Orang ramai yang ingin memberikan bantuan bolehlah menghubungi Mohammad Firdaus di talian 0173276075 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank CIMB  7013988529 (Mohammad Firdaus).

Sumber: Sinar



Sumber “Sudikah anda derma buah pinggang untuk anak saya?” Rayu pasangan suami isteri ini

Post a Comment

Previous Post Next Post