Pelakon, Fattah Amin, enggan mengulas panjang tindakan rakan gandingannya dalam drama Suri Hati Mr Pilot, Neelofa, yang berhenti menjadi pengikut laman sosial Instagramnya sejak hujung bulan lalu.
Aktor yang semakin mendapat tempat di hati peminat itu percaya, masing-masing mempunyai alasan sendiri untuk menjadi pengikut seseorang di laman bergambar itu atau sebaliknya.
“Saya rasa, soalan berhubung perkara ini sepatutnya diajukan kepada beliau,” katanya ringkas dalam pertemuan bersama BH Online.
Sehingga kini, Fattah tetap mengikuti pengacara dan pelakon terkenal itu di laman sosial terbabit.
Hubungan mesra antara dua pelakon berkenaan mula menjadi bualan ramai apabila mereka digandingkan dalam drama arahan Michael Ang dan Hadith Omar itu, Oktober tahun lalu.
Ketika drama berkenaan ditayangkan, kedua-duanya dilihat sering memuat naik gambar bersama, yang menghangatkan lagi dakwaan wujud hubungan intim antara dua insan seni ini.
Baru-baru ini pula, Fattah muncul dengan single baharu berjudul Wanita Terakhir. Katanya, lagu berkenaan ditujukan buat ‘si dia’, yang tentu saja membuatkan peminat terus membayangkan teman gandingannya dalam drama popular itu.
Lagu ciptaan Aizat, Anas Amdan dan Mel Ramlan itu mendapat sambutan hangat peminat sehingga berjaya menduduki carta teratas iTunes negara ini.
Sementara itu, Fattah memberitahu perniagaan restoran Stalkers di Kota Damansara, yang diambil alih olehnya beberapa bulan lalu, menunjukkan perkembangan amat positif.
“Selepas diambil alih, keuntungan perniagaan itu naik tiga kali ganda. Sudah kira-kira dua bulan kami mengendalikan perniagaan restoran itu.
“Insya-Allah, pada bulan ini saya akan membuka gimnasium The Expendables pula di lokasi sama. Sebelum ini, ia beroperasi di Kelana Jaya,” katanya.
Sumber: Bharian
Sumber “Tanyalah dia sendiri” Neelofa unfollow Fattah Amin di Instagram