Anak Muda Hasilkan Teknologi Tukar Kereta Biasa Jadi Pandu Sendiri

"Kalau mahu Tesla, kena beli kereta Tesla. Saya sudah ada kereta, kenapa perlu tambah kereta hanya untuk tidak perlu memandu. Jadi, apa yang membezakan kami (dengan Tesla) adalah apa saja kereta lama atau tiada sistem pandu sendiri, kami boleh letak sistem ini dan tukarkan kepada kereta tanpa pemandu," kata Haziq.
Menjelaskan lagi mengenai kereta tanpa pemandu itu, Haziq memberitahu, sistem yang dibangunkan pasukan REKA mempunyai komputer yang boleh berfikir dan membuat keputusan tentang apa yang sepatutnya sesebuah kereta itu lakukan.
Ketua Pegawai Operasi (COO) REKA, Syurahbil pula berkata, sistem yang dipanggil papan pembangunan (development board) itu terbukti mampu membuatkan sesebuah kereta menjadi kenderaan tanpa pemandu walaupun hanya menggunakan komponen cip yang kecil.
Ketua Pegawai Penyelidik (CRO), REKA Khairul Muzzammil menambah pula, semua gajet dan robot dikawal pada 'otak' menerusi litar yang diberikan nama RIG.

BENARKAH SELAMAT DIPANDU?

Haziq menjelaskan secara ringkas rekacipta pasukannya itu memang boleh dipandu sendiri, tetapi masih jauh untuk mengatakan ia selamat untuk kegunaan pengguna di luar.
"Kami memang sudah buat pandu uji dari Melaka ke Kuala Lumpur. Jadi, macam kami, kami memang yakin. Selama dua bulan diperlukan bagi menyiapkan kereta itu untuk bergerak atas jalan raya," katanya.
Lebih mengagumkan, projek kereta pandu sendiri itu dibangunkan sepenuhnya pasukan REKA tanpa mendapat sebarang penajaan atau suntikan dana.
"Sebenarnya, tiada pihak menaja. Pertamanya kerana tiada siapa yakin. Kedua, ramai anggap projek ini tidak boleh buat duit dan tak akan berhasil. Jadi bagi memastikan teknologi Malaysia maju ke hadapan, sama ada mahu ataupun tidak, kami mahu juga lakukannya," tegas Haziq.
Sebelum menubuhkan REKA, Haziq pernah bekerja secara bebas atau freelance dan sebelum itu pernah bersama Google. Malah, kebanyakan idea dan kerja itu dibuat sendiri kerana tidak pernah menyasarkan apa dilakukan itu sebagai habuan sijil akademik seperti ijazah atau sarjana.
Saya asasnya cuma mengejar ilmu. Saya bekerja dengan Google untuk mengetahui apa mereka tahu yang boleh saya belajar daripada mereka. Saya sebenarnya sudah ada impian sejak di sekolah. Walaupun terkubur selama 10 tahun, tapi saya memang yakin mahu buat benda itu.
"Ada tempat dan masa untuk ia berlaku. Mungkin tempat itu betul, tetapi bukan masanya. Ataupun masa sudah tepat sebab ekonomi stabil, tetapi bukan tempat yang betul untuk dilaksanakan. Jadi, jangan patah semangat kalau kita yakin dengan idea itu."
- Haziq Faris, CEO REKA Studio

Post a Comment

Previous Post Next Post