Pelakon Fattah Amin menganggap kritikan pedas terhadap buku pertamanya berjudul “99 Kata-Kata #QalifModen Fattah Amin” sebagai dugaan untuk dirinya.
Fattah, 27, berkata, walaupun dihentam teruk namun dia sentiasa berpegang kepada tujuan asalnya menerbitkan buku berkenaan ingin berkongsi tentang impiannya dalam menjadi insan sempurna dan memberi inspirasi kepada generasi baharu.
“Saya anggap ini dugaan untuk saya dan saya sentiasa beringat tentang tujuan asal saya meneribtkan buku ini iaitu ingin berkongsi tips, kata-kata positif serta nasihat.
“Saya berkongsi tentang impian saya dalam menjadi insan sempurna kerana ingin memberi inspirasi kepada semua terutama generasi baharu agar meletakkan impian dan strategi untuk berjaya.
“Paling penting saya ingin terapkan nilai untuk tidak mudah berputus asa selain tidak mudah lupa diri dan beringat dari mana kita bermula serta tidak mendongak membangga diri,” katanya kepada mStar Online menerusi Whatsapp pada Isnin.
Fattah bergambar bersama peminat pada majlis pelancaran bukunya yang berjudul 99 Kata-Kata Fattah Amin.
Fattah mengulas demikian selepas ramai pihak mengecam kandungan buku tersebut serta mempersoalkan kredibilitinya sebagai seorang penulis buku.
Malah salah satu petikan daripada buku tersebut yang berbunyi: “Aku dulu selalu berangan nak gi KLCC nak bawak kereta aku sendiri dan parking Valet. Ternyata kini telah termakbul hahh…. kelakar kan” telah dipersendakan sehingga menjadi tular di laman sosial.
Menjawab mengenai petikan itu, Fattah berkata, apa yang ditulis itu mempunyai maksud tersirat dan dia ingin pembaca berfikir maksud disebalik mengikut imaginasi mereka sendiri.
Jelas Fattah, 99 Kata-Kata #QalifModen Fattah Amin adalah tentang pengalaman peribadinya sendiri yang sebelum ini seorang remaja biasa dengan impian.
“Ayat itu sebenarnya adalah tentang saya yang dahulunya hanyalah seorang remaja biasa yang sering ke KLCC menaiki motosikal.
“Tidak semua mampu meletakkan kereta di valet dan kebiasaannya kereta yang menggunakan khidmat itu adalah kenderaan mewah dan mereka ini adalah sumber inspirasi untuk saya berjaya seperti mereka.
“Apa yang saya ingin beritahu adalah saya kena berusaha lebih untuk menjadi seorang yang hebat dan saya ingin kongsi perkara itu dengan pembaca.
Fattah ingin memberi inspirasi kepada generasi baharu menerusi buku 99 Kata-Kata #QalifModen Fattah Amin.
“Saya bukan sahaja berkongsi kisah peribadi tetapi mahu pembaca berfikir maksud tersiraf dan berfikiran di luar kotak,” jelasnya.
Menjelaskan tentang harga buku berkenaan yang agak tinggi, Fattah berkata, RM50 adalah satu harga yang berpatutan dengan mengambil kira kualiti kertas selain kulit buku keras yang digunakan.
Tambahan pula, pengisian buku itu yang turut menggunakan grafik, foto-foto selain turut disertakan cakera padat singlenya iaitu Wanita Terakhir dalam dua versi iaitu original dan akustik.
“Jumlah keseluruhan muka surat buku itu adalah 150 termasuk dengan helaian dengan tandatangan, nota, gambar eksklusif selain kualiti kertas yang digunakan.
“Jika dilihat pada buku lain yang berada di pasaran juga lebih kurang sama dengan harga buku ini,” ujarnya.
Pada Sabtu lalu, Fattah melancarkan buku 99 Kata-Kata #QalifModen Fattah Amin yang diadakan di NU Sentral Kuala Lumpur.
Sumber: Mstar
Sumber Buku pertama 99 Kata-Kata #QalifModen Fattah Amin dikritik hebat netizen, Fattah Amin anggap ia satu dugaan