“Jangan nafi, doktor juga ramai terkena sihir.. ramai pesakit saya juga doktor” – kata perawat Islam

Penerangan berhubung perubatan Islam diteruskan lagi hari ini apabila Tuan Asmawi Tuan Umar menggesa pengamal perubatan moden tidak menyanggah kesan penyakit mistik.

Tuan Asmawi berkata seiring teknologi, sihir juga semakin canggih apabila ia mampu dihantar berbekalkan gambar di telefon bimbit. — Foto oleh Choo Choy May

Pengamal perubatan Islam yang berpejabat di Bangi, Selangor itu berkata doktor tidak seharusnya memperlekehkan kesan sihir kerana mereka juga tidak terlepas daripada ancaman itu.

“Doktor pun tidak boleh menafikan dunia sihir. Mereka tidak tahu ramai pesakit saya juga doktor.

“Perubatan Islam dan perubatan moden saling berkait. Masing-masing tidak boleh mendakwa diri hebat.

“Ada yang doktor diagnos kanser tetapi bila saya rawat, pesakit mengerang. Pesakit saya ramai begitu. Bila saya bacakan air, benda itu suruh diam pula,” katanya kepada ProjekMMO.

Tuan Asmawi dalam laporan semalam mendedahkan jin Islam juga bersekongkol dalam ilmu hitam dan makhluk tersebut paling sukar ditumpaskan.

Katanya, pengamal ilmu hitam juga mengenakan bayaran tinggi kepada pihak yang menggunakan jin Islam kerana makhluk ghaib itu sukar dikesan.

Pengasas program realiti Imam Muda ini juga menyeru umat Islam agar cakna dengan ciri-ciri perubatan Islam yang jelas menggunakan ayat al-Quran.

“Kalau sekadar terkumat kamit, orang lain pun boleh buat. Jika bacaannya betul, hati kita boleh berasa tenang.

“Kalau ada yang kenakan caj yang mahal untuk buang jin, tidak perlu. Saya tidak dapat bercerita lebih, susah kerja saya nanti. Saya tidak buat kerja ini sepenuh masa.

“Apabila berat kerja saya, saya jadi malas. Kalau saya berubat sehingga 3 pagi, esoknya saya mahu ke pejabat pula.

“Kalau saya buat tugas ini sepenuh masa, saya pula tidak betul. Seperti memiliki kamera hanya untuk seronok tetapi ada yang jadikan aset berniaga,” katanya.

Tuan Asmawi turut diminta mengulas mangsa santau yang memuntahkan paku dan memperlihatkan kandungan telur yang berisi darah.

Katanya, apa yang dizahirkan itu juga adalah penipuan menambahkan rasa teruja pesakit datang ke premis mereka.

“Itu semua penipuan. Saya bercakap atas asas kebenaran. Sakit tidak kalau tercekik tulang ikan? Bayangkan kalau 15 batang paku ada dalam badan?

“Orang yang melakukan ini untuk meyakinkan pesakit. Biasanya mereka gunakan telur yang sudah dipakai.

“Kalau dalam bentuk ketul atau cairan yang keluar, itu mungkin. Dalam berubat, kalau tidak ditunjukkan benda yang hebat, ia tidak menarik,” katanya.

Bekas pegawai di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ini juga mendedahkan waktu pengamal ilmu hitam cenderung menyakiti mangsa.

Katanya, seiring teknologi, sihir kini juga lebih canggih apabila mampu memukau menerusi gambar di telefon bimbit.

“Waktu bomoh ini menghantar sebelum Zohor dan waktu senja. Begitu juga 12 tengah malam ke atas sehingga 4 pagi. Ia memberi kesan penghantaran.

“Sebab itu ada pesakit kena serang angin ahmar di awal pagi. Ini kerja jin. Ada juga jin angin ahmar.

“Jika dahulu bomoh jampi air dalam minuman tetapi sekarang dengan renungan mata, berjabat tangan dan niat di dalam hati sahaja pun boleh terkena sihir,” katanya.

 

Sumber: Projek MMO



Sumber “Jangan nafi, doktor juga ramai terkena sihir.. ramai pesakit saya juga doktor” – kata perawat Islam

Post a Comment

Previous Post Next Post