Kelab Basikal 68 Kelantan kesal dengan tohmahan dilempar terhadap aktiviti mereka, susulan tragedi yang meragut lapan nyawa di Johor, Sabtu lalu.
Pengerusinya, Mohamad Aiman Syahmi Suhaidi, 16, berkata masyarakat menggambarkan mereka ibarat generasi tidak berguna sedangkan aktiviti itu lebih kepada hobi.
“Kami hanya melakukan aktiviti kayuhan ketika ada acara besar seperti sambutan tahun baharu, bukannya berpeleseran pada waktu malam sebagaimana didakwa.
“Malah, aktiviti ini adalah sesuatu yang sihat jika tidak disalah guna seperti untuk berlumba dan sebagainya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mohamad Aiman Syahmi mengakui kemalangan yang meragut lapan nyawa di Johor baru-baru ini menyebabkan ramai ibu bapa menghalang anak mereka melakukan aktiviti berbasikal.
“Kejadian berkenaan turut mendatangkan kesan kepada kami, menyebabkan ada antara kami tidak dapat berbasikal seperti rakan lain,” katanya.
Timbalannya, Muhammad Aidil Adha Makhtar, 15, berkata kelab yang ditubuhkan pada 2013 itu memiliki lebih 300 ahli.
“Ahli kami berusia antara 12 hingga 21 tahun dan tinggal di seluruh kawasan termasuk dari Pasir Mas serta Kuala Krai.
“Jika ada aktiviti kayuhan, kami berkumpul di Stadium Sultan Muhammad IV dan berhubung melalui aplikasi WhatsApp serta Facebook.
“Kayuhan paling jauh ialah ke Bukit Keluang iaitu lebih 50 kilometer (km) dari Kota Bharu,” katanya.
Sumber Kelab Basikal 68 Kelantan kesal dilempar tohmahan susulan tragedi basikal