Larangan untuk remaja keluar rumah pada waktu malam hanya akan membuatkan anak muda berasa lebih tercabar kerana pada usia itu sikap memberontak dalam diri remaja amat kuat, kata seorang pakar.
Pakar Psikologi dan Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mariani Mohd Nor berkata pada usia bawah 18 tahun, remaja sedang dalam proses mencari identiti selain didorong perasaan ingin ‘membuktikan diri siapa lebih hebat’ dengan rakan-rakan seusianya.
Katanya, pendekatan mendidik dan bimbingan daripada ibu bapa amat penting pada peringkat umur itu, termasuk dengan memberi kebebasan yang bersesuaian, boleh mengelak unsur memberontak di kalangan remaja.
“Tujuan kebebasan itu adalah untuk menjadikan anak-anak seimbang dari segi sahsiah diri dan akademik. Naluri remaja ini kalau kita tahan, lagi tinggi keinginan mereka.
“Sekiranya ada halangan atau peraturan ketika usia bawah 18 tahun, remaja sedang mencari identiti dan sepatutnya ibu bapa cari saluran betul untuk membantu mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau mengulas cadangan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed supaya kerajaan negeri mengeluarkan arahan melarang remaja bawah umur berada di kawasan bandar raya, jalan raya dan lokasi tertentu pada lewat malam.
Ia berikutan kemalangan maut melibatkan lapan remaja lelaki apabila basikal mereka dirempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam, bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, awal pagi Sabtu lalu. – Bernama
Sumber: Sinar
Sumber Larangan keluar malam hanya buat remaja lebih tercabar, kata Pakar