Menurut penyanyi yang terkenal dengan lagu Sandiwara itu, sebaik anaknya, Mohd Syakir Iman, 24, menyuarakan hasratnya untuk berkahwin, dia dan suaminya, Johan Nawawi tidak menunggu lama untuk bersetuju.

Kata Nora, keputusan dia dan suaminya itu dibuat memandangkan mereka enggan anak sulung dalam keluarga itu berkawan tanpa arah tuju.

“Saya sendiri pun berkahwin pada usia yang muda jadi saya tahu apa yang perlu dihadapi dan ada juga yang menentang.



“Tapi bagi saya, kalau jika sudah masing-masing bersetuju, buat apa kita nak halang dan doakan yang terbaik untuk mereka,” katanya.



Pada Sabtu lalu, Mohd Syakir Iman mengikat tali pertunangan dengan gadis pilihannya, Eliya Sofea, 20, dalam majlis yang diadakan secara kecil-kecilan.



Ditanya mengenai tarikh perkahwinan, jelas Nora, keputusan belum ditetapkan untuk memberi peluang mereka menyambung pelajaran.



“Kita utamakan pendidikan mereka dahulu. Eliya akan melanjutkan pelajaran di Rusia dalam jurusan perubatan.



“Syakir pula baru menamatkan diploma dan sekarang sedang belajar menguruskan perniagaan saya. Jika ada peluang menyambung pelajaran, pasti saya akan benarkan.



“Jadi, lebih baik saya biarkan mereka fokus pada pelajaran dahulu sebelum pergi ke langkah seterusnya,” katanya.



Teruja untuk mendapat menantu, jelas Nora, dia turut merasakan yang fasa dalam kehidupannya sudah menginjak setangga lagi.



“Memang saya teruja tetapi dalam masa yang sama, rasa seperti diri ini sudah tua. Tetapi itu adalah lumrah,” katanya tertawa.



Selain Mohd. Syakir Iman, Nora dan Johan turut dikurniakan tiga cahaya mata lain iaitu Mohd. Syakir Alif, 18, Putri Nor Dahlia, 13 dan Putri Nor Fathehah, 5 tahun.

Sumber: UTUSAN ONLINE