Pemimpin akar umbi kontroversial Umno, Datuk Seri Jamal Md Yunos enggan mengulas dakwaan beliau memperdaya dan membayar sejumlah wang kepada 15 pemandu van jenazah pada demonstrasi di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), Selasa lalu.
Sebaliknya, Jamal berkata hanya beliau sahaja yang tahu perkara sebenar dan tidak peduli dengan apa yang diperkatakan terhadapnya.
“Saya tak tahu perkara itu. Isu itu saya tak nak komen.
“Apa pun orang nak kata saya tak ada masalah, itu hak masing-masing tetapi yang tahu hanya saya,” kata Jamal ketika dihubungi Malaysiakini.
Baca artikel sebelum: 15 Pemandu van jenazah diperdaya Jamal, konon ada pengambaran dengan bayaran RM300
Jamal mengulas laporan sumber portal Selangorkini yang mendakwa Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu memperdaya sekurang-kurang 15 pemandu van jenazah bagi mengadakan demonstrasinya.
Memetik sumber, portal itu melaporkan pemandu berkenaan dimaklumkan pihak Jamal bahawa kononnya satu sesi pengambaran akan dibuat di hadapan bangunan SUK tanpa didedahkan sebarang butiran lanjut.
Pemandu-pemandu cuma diberitahu mereka akan dibayar pada kadar RM300 seorang, kata sumber itu.
Tak mahu berbalah
Mengulas lanjut, Jamal berkata, itu bukanlah isu sebenar sebaliknya penyelewengan dilakukan kepimpinan kerajaan negeri Selangor.
“Isunya adalah penyelewengan yang dilakukan oleh orang yang memegang amanah dalam Skim Khairat Kematian. Itu isunya.
“Jadi, saya tidak mahu berbalah dengan kawan-kawan yang menyokong termasuklah pemandu van jenazah yang terlibat cuma apa yang boleh saya katakan isunya adalah penyelewengan,” katanya.
Jamal pada Selasa lalu, sekali lagi mencetuskan kekecohan di hadapan pintu masuk bangunan SUK dengan membawa 15 van jenazah, keranda dan berpakaian seperti penggali kubur.
Situasi tersebut mengundang persoalan di kalangan umum berhubung tindakan tidak masuk akal dilakukan pemimpin Umno itu.
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam satu kenyataan melahirkan rasa kesal dengan tindakan “mengeksploitasi” aset masjid untuk tujuan demonstrasi dan wujudnya unsur manipulasi.
Pengarah JAIS Datuk Haris Kasim berkata, tindakan berkenaan telah mencemarkan kemuliaan institusi masjid.
Jamal juga semalam membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dana Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang berjumlah RM200 juta.
Beliau mendakwa dana kerajaan negeri Selangor itu disalurkan kepada anggota Parlimen tertentu di daerah-daerah Hulu Langat, Gombak dan Petaling Jaya.
Sumber: Malaysiakini
Sumber Perdaya pemandu van jenazah, Jamal enggan ulas