Peserta solo Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) Danial, mengakui tetap akan
mempertaruhkan lawak meniru gaya orang pada setiap persembahannya.
Danial atau nama sebenarnya Mohamad Danial Mohd Zaini, 24, berkata, meskipun
lawaknya sering dikritik namun perkara itu tidak mematahkan semangatnya untuk
terus melakukan persembahan yang terbaik.
“Saya tetap ingin meneruskan persembahan meniru gaya orang meskipun perkara
tersebut sering mendapat kritikan daripada orang ramai.
“Ini kerana genre lawak impersonation atau impersonator iaitu meniru gaya dan
tingkah laku seseorang itu masih kurang di Malaysia.
“Kalau di luar negara ramai pelawak yang membawa genre lawak seperti ini dan saya
hanya mahu memberi variasi dalam lawak yang ada di Malaysia.
“InsyAllah saya akan memperbaiki persembahan pada masa akan datang dan tetap
memberi persaingan kepada para peserta lain,” katanya kepada Astro Gempak.
MLM 2017 diterajui Datuk AC Mizal sebagai hos dan menampilkan empat juri tetap
iaitu Datuk Rosyam Nor, Luna Maya, Najip Ali dan Neelofa yang akan mengadili para
peserta selama 12 minggu.
MLM 2017 bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam pada setiap
Jumaat, pukul 10 malam dan boleh ditonton menerusi saluran Astro Warna (132) dan
Mustika HD (134).
Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi
Sumber: Astro Gempak
Sumber Walaupun dikritik, juara Lawak Solo Danial tetap akan buat lawak tiru gaya orang dalam persembahannya di Maharaja Lawak Mega 2017