Bekas pemain bola sepak kebangsaan dicekup hisap dadah selepas bersara

“Selepas tamat karier bola sepak, kehidupan saya menjadi tertekan kerana tiada kerja dan pendapatan tetap, malah ramai rakan mengambil dadah ketika pulang ke kampung hingga menyebabkan saya turut terjebak dalam gejala itu.”

Begitu alasan bekas pemain bola sepak kebangsaan era 90-an apabila ditahan pegawai dan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pahang dalam operasi di sebuah premis judi di Chendor, di sini, kelmarin.

Ketika serbuan jam 11 malam, pemain posisi pertahanan berusia 48 tahun berkenaan didapati positif dadah syabu dan dibawa ke ibu pejabat AADK negeri untuk tindakan lanjut.

Dia yang pernah menyarung jersi pasukan bola sepak Pahang mendakwa segalanya bermula selepas dia menamatkan kerjaya selaku pemain bola sepak profesional pada 1996 sebelum mengalami keperitan hidup apabila bersara selain bertemu rakan sekampung yang banyak mempengaruhi gaya hidupnya.

“Pada mulanya mereka ajak hisap ganja, lama-lama saya hisap syabu pula. Selepas bersara, hidup memang tertekan kerana tiada pendapatan dan gaji tetap menyebabkan saya ikut rakan untuk menghilangkan tekanan.

“Saya tahu ia salah dan memang ada niat untuk berhenti,” katanya ketika ditemui, di sini.

Bapa dua cahaya mata itu berkata, aktiviti penagihan dadahnya turut diketahui isteri, namun disembunyikan selepas dia berjanji akan membuang tabiat buruk berkenaan.

“Terbabit dalam penagihan dadah adalah satu kesilapan besar dilakukan dalam hidup saya, sekali gus berharap kesilapan saya tidak diulangi generasi atlet hari ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah AADK Pahang Abdul Ghani Abdul Rahman berkata, seramai 30 penagih berusia 18 hingga 54 tahun ditahan dalam operasi selama sembilan jam bermula jam 5 petang, kelmarin.

Beliau berkata, operasi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu melakukan serbuan di beberapa kawasan seperti di Sungai Ular, Cherating, Chendor dan Beserah, di sini, berdasarkan risikan sejak beberapa hari lalu.

Katanya, semua ditahan disiasat mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

 

Sumber: Harian Metro



Sumber Bekas pemain bola sepak kebangsaan dicekup hisap dadah selepas bersara

Post a Comment

Previous Post Next Post