BELUM sunyi dengan ribut kontroversi penganjuran program realiti Gema Gegar Vaganza (GGV) yang baru memasuki episod kedua, pertanyaan pertama pasti disapa kenapa Raihan tidak menyertai program berkenaan.
Raihan yang kini sudah 21 tahun bergelumang dalam industri nasyid tanah air kini kembali dengan tiga anggota iaitu Che Amran Idris, Amran Ibrahim dan Abu Bakar Md. Yatim mempunyai alasan sendiri.
“Pihak Astro ada menghubungi kami dan mempelawa menyertai program itu, namun jadual kami yang terlalu padat menyebabkan tawaran terpaksa ditolak.
“Malah kami perlu mengutamakan komitmen persembahan serta projek yang telah disusun lebih awal dan pada masa sama, kami memberi laluan kepada artis-arits lain yang bertanding,” jelas Che Amran.
Kumpulan Raihan ditemui ketika Majlis Zikir Sedunia 207 baru-baru ini.
Tambah Che Amran, komitmen selama dua bulan dalam GGV juga antara faktor yang menyebabkan Raihan tidak dapat turut serta.
“Mudah-mudahan program ini ada impak yang baik dan kesan positif kepada masyarakat kerana sudah lama tiada program berbentuk nasyid yang memasuki medan arus perdana.
“Ini juga secara tidak langsung dapat mempromosi artis yang sudah lama tidak muncul di televisyen secara besar-besaran. Kami juga mengucapkan tahniah dan semoga berjaya kepada rakan-rakan yang turut serta dalam GGV musim pertama,” katanya.
Diajukan soalan tentang komen-komen netizen yang agak keterlaluan di media sosial, Abu Bakar berpesan agar masyarakat jangan mudah melatah.
“Program GGV baru sahaja bermula, kita hendak cakap lebih-lebih pun tak boleh. Namun pihak produksi juga perlu belajar daripada kesilapan dan meraikan pendapat orang ramai agar dibetulkan menjadi lebih cantik,” ujarnya.
Makan malam amal
Raihan juga bekerjasama dengan Interaktif Dakwah Training (IDT) untuk mengadakan majlis perbincangan dan makan malam amal Feed Your Body, Feed Your Soul pada 13 Mei ini.
Majlis yang akan diadakan di Rumah Puspanita, Jalan Hose, Kuala Lumpur itu akan bermula pada pukul 8 malam dan turut dihadiri Mufti Kuala Lumpur, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri.
Jelas Che Am Idris, program itu bukan setakat majlis ilmu dan persembahan oleh mereka sahaja tetapi turut mengambil peluang untuk mengumpul dana bagi tabung kebajikan.
“Kita akan kumpul dana untuk tabung membantu mualaf dan anak yatim Rohingya. Kita nak harmonikan kepelbagaian kaum dan agama dalam negara kita sebab itu kita bekerjasama dengan IDT,” katanya.
Menurut Che Am lagi, sambutan orang ramai sangat menggalakkan terutama melibatkan golongan mualaf dan bukan Islam dan itu menjadi tumpuan utama majlis itu diadakan.
“Kita memang mahu adakan majlis yang boleh dihadiri bukan Islam untuk kita meraikan pendapat mereka mengenai agama dan membetulkan tanggapan sesetengah orang yang tidak tahu mengenai Islam,” katanya.
Pada malam itu, Raihan akan menyanyi lebih kurang enam lagu melibatkan pelbagai bahasa termasuklah Tagalog dan Urdu.
Mereka yang berminat boleh menempah meja dengan harga bermula RM2,000 hingga RM5,000 ke akaun bank CIMB 8006897984 atau cek bawah Interactive Dakwah Training And Enterprise.
Maklumat lanjut mengenai majlis itu boleh berhubung terus dengan Azrol (013-4554318), Hasif (019-3001702) dan Emilia (019-3256088).
Rezeki Raihan
Diajukan perkembangan Raihan sekarang, Che Amran memberitahu program tidak putus-putus menerpa pintu rezeki mereka.
“Kami baru sahaja selesai program di Bangkok, Thailand sempena pelancaran hotel Islamik lima bintang dan pada hujung bulan ini, sekali lagi kami akan ke sana sempena hari al-Quran yang dianjurkan oleh Institut Al-Quran di Thailand serta program dengan pondok Islam sempena ulang tahun ke-100.
“Selain itu, kami juga terlibat dengan Wisata Rohani yang merupakan program pakej pelancongan di Acheh, Indonesia. Pada 3 Mei ini juga, kami diundang untuk menjayakan pakej pelancongan pelayaran Islamik yang memperkenal konsep ‘persembahan terapung’ yang pertama di negara ini,” katanya.
Walaupun agak sunyi daripada perhatian media namun kumpulan yang pernah meledak naik dengan lagu Puji-pujian ini juga tidak henti-henti mendapat tawaran persembahan di luar negara.
“Kami juga masih dalam perbincangan dengan sebuah persatuan di Kanada untuk menganjurkan Muslim Day di sana pada Ogos nanti.
Dalam pada itu, ditelah mengenai artis-artis nasyid baharu yang seakan-akan tenggelam dari radar seni hiburan semasa, Raihan berpendapat, perlu ada sinergi yang bagus antara peranan media baharu dengan media tradisional.
“Bagi saya, pendatang baharu khususnya yang membawa genre nasyid ini perlu memanfaatkan sepenuhnya kuasa media baharu dan hubungan yang erat dengan pihak media sendiri.
“Nasyid masih hidup malah masih dipertanding pada peringkat sekolah mahupun universiti. Kita juga masih lagi diberi kepercayaan serta ramai lagi yang masih aktif seperti Rabbani dan Inteam.
“Cuma persoalan sekarang sama ada lagu nasyid itu masih berupaya menjadi tular atau tidak,” jelasnya.
Sumber; Utusan
Sumber “Bukan kami tak sudi masuk Gema Gegar Vaganza tapi jadual terlalu padat” – Raihan