Pelakon, Azrel Ismail mempertahankan tindakannya untuk membangkitkan soal bayaran dan tindakannya membuat laporan polis terhadap produksi JNI Creative Sdn Bhd. yang menerbitkan drama bersiri Yes Sir Nak Pergi Mana.
Menurut Azrel, pihak produksi tersebut yang mempunyai masalah sekali gus menganggu jadual ketika penggambaran drama bersiri 30 episod tersebut.
Baca artikel sebelum: Azrel dan Risteena disaman RM1.5 juta kerana langgar kontrak
“Produksi mempunyai masalah yang mengganggu proses keseluruhan penggambaran.
“Lokasi penggambaran juga sering dibatalkan sekali gus menganggu jadual kami kerana masing-masing ada kerja lain,” katanya.
Tambah Azrel lagi, mereka ada mengambil keputusan untuk berjumpa dengan pihak produksi tetapi mereka enggan berjumpa.
Ditanya mengenai soal pembayaran yang sepatutnya dibayar selepas selesai episod 15, jelas Azrel, dia tahu mengenai perkara itu tetapi penggambaran berjalan terlalu lama.
“Kami ada berhubung tetapi tidaklah mendesak soal bayaran tetapi hanya bertanya kerana sudah dua bulan tidak dibayar gaji.
“Saya tahu mengenai pembayaran seperti ini tetapi untuk produksi ini, mereka ibarat melengahkan proses pembayaran gaji,” katanya.
Mengenai soal tuntuan saman melanggar kontrak berjumlah RM1.5 juta pula, jelas Azrel dia belum tahu mengenai perkara itu.
“Saya tidak tahu mengenai perkara itu dan perlu berbincang dengan orang lain dahulu sebelum memberi kenyataan,” katanya.
JNI Creative Sdn. Bhd. hari ini mengeluarkan notis saman melanggar kontrak drama Yes Sir Nak Pergi Mana kepada pelakon Azrel dan Risteena Munim berjumlah RM1.5 juta.
Sumber: UTUSAN ONLINE
Sumber Disaman RM1.5 juta, Azrel Ismail pertahan tindakan