Lelaki meninggal di Australia kerana virus, keluarga tertekan perlu cari RM80,000 bayar kos perubatan dan pengebumian

Keluarga Mohammad Syahurilnal Shahrull Nizam, 27, yang meninggal dunia kelmarin akibat virus Influenza Streptococcus di The Northern Hospital, Epping, Melbourne, Australia memerlukan RM80,000 bagi membayar kos perubatan dan pengebumian arwah.

Waris keluarga, Farah Fadilah Mazlan, 30, berkata, setakat ini, pihaknya hanya dapat mengutip RM6,640 hasil sumbangan individu prihatin.

Jenazah Mohammad Syahurilnal akan dipindahkan ke sebuah pusat pengurusan mayat Muslim di Preston dalam waktu terdekat.

Farah Fadilah berkata, arwah ke Australia pada 12 Disember 2015 untuk bekerja sebagai pengutip anggur di sebuah ladang di Mildura, Victoria.

“Arwah bekerja selama enam bulan sebagai pengutip buah sebelum berhenti kerana ketiadaan permit kerja. Selepas itu, arwah bekerja sebagai pengutip sewa rumah bagi menampung hidupnya.

“Keluarga arwah mengambil keputusan untuk mengebumikan jenazahnya di Australia berikutan kekangan kewangan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dia berkata, arwah mula mengalami sakit kepala yang teruk sejak tiga minggu lalu dan ditafsirkan sebagai migrain oleh doktor sebuah klinik di Mildura, 2 April lalu.

“Bagaimanapun, sakitnya tidak reda, malah semakin menjadi-jadi. Adakalanya arwah menangis kerana kesakitan.

“Pada 11 April lalu, saya menerima panggilan daripada ahli keluarganya memaklumkan arwah ditemui tidak sedarkan diri di katil di rumah sewanya sebelum dibawa ke Mildura Base Hospital.

“Pada mulanya doktor tidak dapat mengenal pasti virus yang menyerang Mohammad Syahurilnal dan mereka terpaksa mengambil air tulang belakangnya bagi mengetahui jenis penyakit terbabit.

“Ibunya, Che Sharina Shahid yang berusia 48 tahun enggan membenarkan prosedur itu, tetapi selepas doktor menasihatinya dengan bantuan seorang penterjemah menggunakan panggilan video, baru ibunya bersetuju,” katanya.

Farah Fadilah berkata, selepas prosedur itu, pihak Mildura Base Hospital merujuk Mohammad Syahurilnal ke The Northern Hospital.

“Doktor mengatakan virus itu merebak melalui jangkitan komuniti dan arwah tidak dapat diselamatkan kerana virus menyebabkan hampir keseluruhan otaknya mati,” katanya.

 

Sumber: Harian Metro

 



Sumber Lelaki meninggal di Australia kerana virus, keluarga tertekan perlu cari RM80,000 bayar kos perubatan dan pengebumian

Post a Comment

Previous Post Next Post