Mat Salleh sanggup tidur beratur untuk dapat tiket murah ke langkawi

Puluhan ‘kaki jalan’ berkhemah semalaman di luar sebuah agensi pelancongan di sini dengan harapan untuk merebut tawaran penerbangan murah bernilai £49 (RM274.88) ke Malaysia.

Promosi bermula pagi esok (waktu tempatan) tetapi ramai sudah mula beratur di dalam khemah di luar agensi STA Travel cawangan Victoria sejak Isnin lalu, menurut laporan portal berita Evening Standard, semalam.

Agensi yang menggelar diri mereka sebagai syarikat pelancongan pelajar terbaik di dunia itu menawarkan pemenang bertuah peluang meraih tiket penerbangan pergi-balik London ke Langkawi dengan harga istimewa tersebut.

Hanya 49 keping tiket yang boleh didapati dalam tawaran ‘siapa cepat dia dapat’ itu, dan ia pula hanya terhad kepada dua lokasi agensi tersebut di United Kingdom (UK) iaitu di London dan Manchester.

Walaupun tawaran tersebut hanya akan dibuka mulai jam 9 pagi (waktu tempatan) Khamis, namun orang ramai sudah mula dilihat beratur panjang sejak hari Selasa lagi, meskipun cuaca sedang amat sejuk ketika ini.

“Kami amat teruja untuk menyediakan tawaran harga yang hebat daripada Malaysia Airlines (MAS) ini kepada pelanggan kami,” kata Pengurus STA Travel, Tim Fryer.

“Langkawi mempunyai antara pantai-pantai terbaik di dunia, hidupan liar yang menerujakan, hidupan marin serta makanan tempatan yang enak sekali.

“Oleh itu, tidak hairanlah mengapa tawaran dibuat kami berjaya menarik perhatian ramai – hingga ada yang sanggup berkhemah di luar pejabat kami selama dua malam semata-mata untuk rebut peluang ini,” kata Fryer lagi.

Bagaimanapun, tiket penerbangan murah itu hanya boleh dibeli di kaunter cawangan London di Grosvenor Gardens atau di Manchester.

Untuk mendapatkan tiket tersebut, 49 orang pertama yang beratur akan dapat membeli harga tiket £49 dan orang ke-50 dan seterusnya akan diberi cabutan bertuah untuk merebut peluang mendapatkan tiket terakhir dengan harga murah tersebut.

Selepas itu, agensi tersebut akan menjual 25 keping tiket yang sama pada harga £149 (RM835.86).

 

Sumber: MYNEWSHUB.CC



Sumber Mat Salleh sanggup tidur beratur untuk dapat tiket murah ke langkawi

Post a Comment

Previous Post Next Post