Ketua AMK Ampang, Datuk Adam Rosly telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kekayaan luar biasa yang dimilikinya.
Memetik laporan The Star menyatakan Adam,28, telah digari dan disoal siasat selama beberapa jam di ibu pejabat suruhanjaya itu di sini, hari ini.
“Beliau dilihat dengan tangannya digari di lobi ibu pejabat kami, pada kira-kira 4.10 petang tadi, sebelum dibawa ke lokasi yang lain,” kata sumber SPRM, petik The Star.
Sumber itu menambah, Adam ditahan pada pukul 3.30 petang, hampir sejam selepas beliau disoal siasat oleh SPRM.
“Beliau kini dalam tahanan…dalam tempoh 24 jam,” kata sumber itu.
Sumber itu berkata, bahawa SPRM akan memohon perintah reman pada Jumaat ini.
“SPRM sedang menyiasat kes itu di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,” tambah sumber itu.
Terdahulu, Adam hadir sekitar jam 2:30 petang ke Ibu Pejabat SPRM di sini, bagi memberi keterangan berhubung dakwaan tersebut.
Sebelum ini, pada 10 Februari lalu, Adam telah diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi merakam keterangan berhubung dakwaan tersebut.
Media sebelum ini melaporkan kemewahan luar biasa Adam yang didakwa memiliki banglo dan beberapa kereta mewah meskipun baru memegang jawatan dalam PKR.
Susulan itu, satu laporan terhadap SPRM telah dibuat Ketua Umno Ampang, Datuk Ismail Kijo.
Sumber: Sinar Harian
Sumber Miliki kekayaan luar biasa, SPRM tahan Adam Rosly